PAPAR: Penduduk Papar yang terputus bekalan air akibat kamarau memohon pihak terlibat antaranya Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah (JANS) menyalurkan bekalan air sekurang-kurangnya tiga kali seminggu bagi membantu melancarkan urusan harian mereka.

Imam Kariah Daerah Papar Saidi Moksin berkata bekalan tiga kali seminggu itu penting kerana tidak ramai penduduk terutama di kawasan kampung yang mempunyai tanki air saiz besar dan hanya menyimpan air dalam tanki air kecil, tong, besen serta baldi untuk keperluan harian.

Saidi, 61, berkata penduduk memahami situasi kekurangan bekalan air di daerah itu, namun pihak berwajib diharap dapat membantu menyalurkan air dengan lebih kerap untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti harian termasuk untuk minuman, memasak, mandi, dan beribadah.

"Sudah lebih tiga minggu juga bekalan air terjejas akibat kemarau ini, sekejap ada air sekejap tiada. Sukar kalau tiada air terutama bulan Ramadan ini, di surau dan masjid juga perlukan air untuk wuduk serta aktiviti lain.

"Saya harap pihak berkenaan lebih kerap hantar bekalan air, seminggu sekali seperti sekarang tidak cukup paling kurang pun tiga kali seminggu," katanya kepada Bernama selepas menerima agihan bekalan air kepada penduduk terjejas di Kampung Kuala di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau tetap berterima kasih kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Papar dan Pejabat Ahli Parlimen Papar kerana aktif memberikan bekalan air, selain berharap lebih ramai pihak tampil untuk memberikan bantuan kepada penduduk yang terjejas.

Semalam JPBD Papar dalam satu kenyataan mengisytiharkan daerah itu yang terletak kira-kira 38 kilometer dari Kota Kinabalu, sebagai kawasan bencana kemarau berikutan krisis bekalan air berada pada tahap kritikal akibat cuaca panas yang melanda.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kampung Sulim Victoria Juatol, 63, berkata bekalan air di kampungnya terputus sejak tiga hari lepas.

Menurutnya lebih menyulitkan apabila sumber bekalan air graviti dan semulajadi turut kering disebabkan kemarau.

"Jadi agihan bekalan air kepada penduduk kampung seperti pada hari ini amat membantu untuk kegunaan harian seperti memasak dan mencuci. Harapnya agihan bekalan air dibuat lebih kerap," katanya.

Pemandu lori Mohd Sufi Lumadan, 44, pula berkata dia terpaksa membelanjakan kira-kira RM80 seminggu untuk membeli bekalan air minuman botol bagi kegunaan harian keluarga berikutan ketiadaan bekalan air di Papar.

"Saya harap bekalan air disalurkan lebih kerap untuk meringankan beban kerana kami bukan bergaji besar untuk sentiasa beli air botol," katanya yang mengakui di tempat tinggalnya di Kinarut bekalan air diperoleh seminggu sekali dan hanya bertahan tiga hari sahaja.

Penyelia kedai serbaneka Rosinah Butleh, 51, berkata jualan air minuman botol di Papar laris ketika ini malah boleh mencecah 80 hingga 100 karton sehari.

Beliau berharap kemarau yang melanda Papar ini segera berakhir kerana memberi beban serta cabaran yang amat besar untuk penduduk di kawasan itu.

-- BERNAMA