[KEMAS KINI] 11 PATI mangsa bot karam lemas, 14 selamat, 25 masih hilang

Muhammad Aiman Hakeem
Disember 15, 2021 10:39 MYT
Seramai 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) meninggal dunia selepas sebuah bot yang membawa mangsa karam di perairan Tanjung Balau awal pagi tadi. - Foto Maritim Johor
KOTA TINGGI: Susulan bot karam yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) di Tanjung Balau, Johor, pihak berkuasa mengesahkan, kesemua mangsa tragedi itu awal pagi ini adalah seramai 50 orang.
Sehingga pukul 3 petang tadi, seramai 11 mangsa yang terdiri daripada tujuh lelaki dan empat perempuan maut.
Manakala, jumlah mangsa terselamat pula adalah seramai 14 orang iaitu 12 lelaki dan dua perempuan yang kini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Johor.
Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Johor, Kapten Maritim Simon Templer Lo Tusa berkata, bot yang membawa kira-kira 50 orang PATI itu karam ekoran cuaca buruk di kawasan tersebut.
Kata beliau, baki 25 lagi individu yang menaiki bot berkenaan masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat sedang dipergiat diperairan terbabit bagi mengesan mangsa.
"Operasi cari lamat telah diaktifkan pada pukul 8.50 pagi tadi dengan penglibatan sebuah pesawat APMM, sebuah kapal dan beberapa bot dari agensi sahabat yang terlibat,” kata Simon dalam sidang media di sini, pada Rabu.
BACA: 10 PATI maut, 29 hilang dalam tragedi bot karam di Tanjung Balau
Antara agensi yang bekerjasama dalam operasi ini ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia.
Simon berkata, pemeriksaan mendapati, bot pancung dengan empat enjin yang membawa kesemua PATI itu dipercayai menyeludup masuk ke perairan negara secara haram
Jelasnya, siasatan lebih mendalam akan diteruskan bagi mengenal pasti sama ada tekong bot berkenaan turut terkorban atau berjaya melarikan diri.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa bot berkenaan berlabuh dari perairan Batam, Indonesia susulan kekuatan bot yang hanya mampu belayar dalam jarak dekat
#bot karam #pendatang asing tanpa izin #perairan Tanjung Balau #PATI lemas