Skip to main content

Malaysia

Kemasukan lepasan UEC ke IPTA berpotensi ubah trend pilihan pelajar sekolah - Penganalisis

Anuar Ahmad
Anuar berkata, keputusan itu boleh mempengaruhi persepsi ibu bapa dan pelajar terhadap laluan pendidikan ke universiti awam.

KUALA LUMPUR: Kelonggaran laluan kemasukan pelajar lepasan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berpotensi memberi kesan terhadap trend pemilihan aliran di peringkat sekolah menengah.

Felo Bersekutu MINDA Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Anuar Ahmad, berkata keputusan itu boleh mempengaruhi persepsi ibu bapa dan pelajar terhadap laluan pendidikan ke universiti awam.

Jelasnya, situasi itu berisiko mewujudkan jurang lebih besar antara sekolah kebangsaan dan sekolah persendirian Cina sekiranya isu berkenaan tidak diurus secara berhati-hati.

“Jadi apabila ada keadaan di mana wujud sistem ataupun aliran persekolahan yang tidak menepati bukan saja satu, dua atau tiga... malah kesemuanya tidak menepati kurikulum dasar pendidikan negara... bahasa pengantarnya berbeza, peperiksaannya berbeza... maka ia berada di luar daripada sistem pendidikan kebangsaan.

"Apabila UEC diberikan laluan tertentu ke IPTA, sebahagian ibu bapa khususnya masyarakat Cina mungkin melihat aliran tersebut sebagai pilihan lebih mudah untuk anak-anak mereka kerana pembelajaran dijalankan dalam bahasa ibunda," katanya. 

Beliau berkata perkembangan tersebut boleh menggalakkan lebih ramai pelajar memilih aliran UEC sekiranya ia dilihat mempunyai kelebihan laluan ke universiti awam.

Anuar berkata demikian dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Sabtu.

Perbezaan sistem pendidikan

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa perbezaan struktur antara sistem pendidikan kebangsaan dan aliran UEC boleh mewujudkan jurang lebih ketara dalam ekosistem pendidikan negara.

Menurutnya, syarat seperti lulus Bahasa Melayu dan Sejarah peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilihat sebagai kompromi kerajaan dalam menyeimbangkan keperluan dasar pendidikan kebangsaan dengan permintaan pihak tertentu.

“Apabila memohon ke IPTA, ada pihak lain (lepasan UEC) juga diberi pilihan (bukan kukrikulum kebangsaan)... jadi pada saya tindakan ini satu jalan tengah kerajaan untuk cuba 'menenangkan semua pihak',” katanya.

Beliau turut memberi amaran bahawa jika tidak ditangani dengan berhati-hati, perkembangan ini boleh memperkukuh dualisme dalam sistem pendidikan negara serta mewujudkan pemisahan lebih ketara antara aliran persekolahan dalam jangka panjang.

Katanya, situasi itu bukan sahaja memberi kesan kepada struktur pendidikan, tetapi juga boleh mempengaruhi hubungan sosial dalam kalangan generasi muda sekiranya mereka membesar dalam ekosistem persekolahan yang berbeza dan tidak banyak berinteraksi antara satu sama lain.

“Kita akan dapat lihat nanti anak-anak kita akan terpisah mengikut sekolah… dan ini tidak wajar untuk negara majmuk seperti Malaysia,” katanya.

Pendidikan sebagai platform penyatuan

Beliau menegaskan pendidikan sepatutnya menjadi platform penyatuan yang membolehkan pelajar daripada pelbagai latar belakang berkongsi pengalaman pembelajaran yang sama, bukannya bergerak secara berasingan mengikut aliran pendidikan masing-masing.

Tambahnya, jika trend ini berterusan tanpa dasar yang jelas, ia berpotensi mengembalikan corak pemisahan sosial yang bercanggah dengan usaha pembinaan negara bangsa yang telah dibentuk sejak era awal kemerdekaan.

Pada Khamis, KPT mengumumkan peluang kepada calon lepasan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan UEC serta tahfiz untuk mengikuti program tertentu di IPTA.

Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.

Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).

Menurut KPT, keputusan itu dibuat menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri yang memperhalusi laluan kemasukan pelajar daripada sistem pendidikan di luar aliran kebangsaan ke institusi berkenaan.

Must Watch Video