MALAYSIA
Kemasukan penuntut UTS dijangka cecah 5,000 menjelang akhir tahun - Annuar

Annuar (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Ketua Zon 4 Sibu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Andy Alie pada Majlis Makan Malam Penghargaan UTS 2025 semalam. - Bernama
SIBU: Bilangan penuntut yang menyambung pengajian di Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini dijangka mencecah 5,000 orang menjelang akhir tahun ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
Ringkasan AI
- Jumlah penuntut Universiti Teknologi Sarawak (UTS) kini melebihi 4,000 orang dan dijangka mencecah 5,000 menjelang akhir tahun ini, menjadikannya universiti dengan kemasukan tertinggi di Sarawak.
- UTS menjadi pilihan utama pelajar dari wilayah tengah Sarawak, mengatasi universiti lain seperti Swinburne dan Curtin, dengan peningkatan ketara sejak pandemik COVID-19 dan pelantikan Dr Annuar Rapaee sebagai Pengerusi pada 2021.
- Skim biasiswa yang menampung sehingga 80 peratus yuran pengajian bagi pelajar B40 membantu meningkatkan akses pendidikan tinggi dan menyumbang kepada pertumbuhan jumlah pelajar secara signifikan.
Dr Annuar berkata UTS kini mencatat jumlah kemasukan tertinggi dalam kalangan universiti tempatan di Sarawak dam menerusi pengambilan terkini bagi program asas, terdapat juga penuntut dari Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata UTS kini menjadi pilihan utama penuntut dari wilayah tengah negeri ini, mengatasi Swinburne University of Technology Kampus Sarawak di Kuching dan Curtin University Malaysia di Miri dari segi jumlah pelajar.
Dr Annuar berkata ketika beliau dilantik sebagai Pengerusi UTS pada 2021, universiti itu hanya mempunyai kira-kira 1,200 penuntut, dengan jumlah kemasukan merosot ketika pandemik COVID-19.
Bagi memastikan pendidikan tinggi dapat diakses oleh keluarga berpendapatan rendah, beliau bersama Naib Canselor Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid memperkenalkan skim biasiswa yang menampung 50 peratus yuran pengajian untuk semua pelajar, selain biasiswa tambahan sebanyak 80 peratus bagi 100 pelajar daripada kumpulan B40.
"Kami pernah dikritik kerana UTS yang dibina menggunakan dana kerajaan kononnya bukan untuk golongan miskin kerana yuran pengajian terlalu tinggi," katanya.
"Tanpa yuran, sesebuah universiti tidak boleh beroperasi, namun jika tidak berbuat apa-apa, ia akan menjadi satu beban. Terima kasih kepada skim biasiswa itu, jumlah pelajar kini meningkat daripada kira-kira 1,200 kepada lebih 4,000 orang dan berada pada landasan untuk mencapai 5,000," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami