KUALA TERENGGANU: Sebanyak 21 kematian akibat kebakaran rumah direkodkan setakat Februari tahun ini, dengan pada hari ini sahaja lima mangsa telah terkorban.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, angka yang dicatatkan itu juga hampir menyamai jumlah keseluruhan pada tahun lalu.
Advertisement
Katanya sepanjang tahun lalu sebanyak 32 mangsa telah terkorban dalam kebakaran rumah dan pada tahun ini ia menunjukkan peningkatan.
"Kebanyakan kes kematian yang direkodkan itu membabitkan penghuni rumah teres yang menyumbang lebih separuh daripada statistik.
"Sebanyak 57 peratus kebakaran yang tercetus itu juga berpunca daripada elektrik serta faktor kecuian manusia.
"Pemanasan melampau akibat beban yang tinggi, peralatan gas serta litar pintas menjadi pembunuh utama kebakaran rumah," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, majoriti kematian berlaku ketika mangsa sedang tidur dengan 52 kematian berlaku pada waktu malam, dan selebihnya waktu siang.
Katanya warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak merupakan golongan paling berisiko kerana mereka memerlukan bantuan untuk menyelamatkan diri.
Justeru Nor Hisham mengingatkan orang ramai agar lebih peka dan cakna tentang keselamatan di rumah sekali gus menggelakkan kehilangan nyawa.
Pada Khamis, lima sekeluarga ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Pamah Kulat, Raub, Pahang.
Malam tadi pula, seorang wanita warga emas yang juga OKU maut selepas rumah didiaminya di Jalan Lahat, Simpang Pulai, musnah akibat kebakaran.