Mahkamah Koroner bagi menyiasat punca kematian William Yau Zhen Zhong hari ini memutuskan kematian kanak-kanak itu adalah berpunca dari 'nahas'.

Koroner Mohd Hezri Shaharil ketika mengumumkan keputusan inkues berkata mahkamah berpendapat Yau telah secara tidak sengaja tergelincir dan terjatuh ke dalam longkang besar menyebabkan kepalanya terhantuk kepada satu batuan keras.

"Mangsa tidak sengaja tergelincir dan kepalanya terkena pada konkrit longkang dan menemui ajalnya sebelum dihanyutkan oleh arus dari longkang ke Sungai Klang berhampiran Pelabuhan Klang," katanya.

Mohd Hezri, dalam penghakiman 14 muka surat itu, menolak unsur-unsur jenayah dalam kematian itu termasuk penglibatan ibu bapa mendiang. Beliau juga menolak teori penculikan dan bunuh, serta teori penderaan.

Walau bagaimanapun, penghakiman itu tidak menolak kemungkinan bahawa kecuaian oleh ibu bapa telah membawa kepada kematian Yau.

Dalam menjelaskan bukti yang membawa kepada kesimpulan mahkamah, Mohd Hezri memutuskan bahawa mahkamah telah menolak dua kemungkinan lain yang dikemukakan oleh pakar forensik: iaitu bahawa Yau telah dipukul di kepala atau lemas sebelum mati.

Beliau berkata bahawa teori si mati jatuh ke dalam longkang bersaiz 70x100 meter berhampiran kenderaan di mana beliau telah dilihat kali terakhir tidak pernah disangkal oleh mana-mana saksi. Pada malam itu kawasan itu juga basah dan licin serta gelap, tambah Mohd Hezri.

Satu lagi aspek yang dipertimbangkan oleh makhamah adalah kematangan Yau, dan koroner berkata bahawa "Seorang budak seusia beliau adalah kerap melakukan kesilapan akibat faktor tidak matang.”

"Mahkamah ini tidak menolak kemungkinan pada malam itu, si mati telah keluar dari kenderaan selepas ditinggalkan oleh ibu bapanya dan menghala ke arah kawasan padang berhampiran.”

Mohd Hezri dia juga menolak teori penculikan dan bunuh walaupun terdapat kenyataan daripada keluarga mengenai panggilan menuntut wang tebusan.

"Mahkamah menolak teori si mati telah diculik sebelum dibunuh memandangkan panggilan dan SMS yang dibuat agak lewat berbanding tarikh kehilangan si mati," kata koroner itu.

Beliau juga mendapati bahawa panggilan pertama yang diterima oleh ibu Yau yang meminta wang tebusan RM80,000, dipercayai telah dibuat selepas Yau meninggal dunia. Polis juga telah menyiasat dan mendakwa individu yang membuat panggilan palsu tersebut.

Satu lagi teori yang ditolak Mohd Hezri adalah Yau didera sebelum dia dibunuh.

"Teori ini turut disangkal melalui keterangan Pakar Perubatan Forensik, yang menolak si mati adalah mangsa dera kerana ketiadaan pola kecederaan yang berulang dan berperingkat.”

Beliau berkata, nenek si mati juga telah mengakui sengaja mengada-adakan cerita bahawa si mati pernah dipukul bapanya.

Mohd Hezri berkata masa kematian Yau adalah kira-kira satu atau dua hari selepas dia hilang pada 16 Jan.

Dia memutuskan bahawa mengikut bukti oleh pakar patologi, luka yang menyebabkan kematian Yau adalah hentakan kuat pada tengkorak.

Parut yang lain - termasuk satu di dahi, dan tulang rusuk yang patah - merupakan parut lama dan tidak membawa kepada kematian kanak-kanak itu, menurut pakar patologi. Tanda gigitan dipercayai telah disebabkan oleh haiwan seperti biawak atau haiwan pemangsa yang lain, juga bukan punca kematian Yau ini.

Yau dilaporkan hilang pada 16 Januari lalu sebelum mayatnya ditemui seminggu kemudian di Sungai Klang.

Inkues mengenai punca kematian Yau ditubuhkan pada 11 Mac lalu selepas siasatan polis gagal mengenal pasti punca sebenar kematian mendiang.

Seramai 21 saksi telah dipanggil untuk memberikan keterangan termasuk ahli keluarga mendiang.

Sejurus mendengar keputusan itu, ibubapa Yau, Yau Kok Kang, 38, dan Goh Ying Ying, 26 dilihat mengalirkan air mata namun enggan bercakap kepada pihak media.

Kedua-duanya juga memakai topeng hidung, dan hanya mengangguk kepala, ketika dilihat meninggalkan mahkamah.

Bagaimanapun peguam pemerhati keluarga terbabit Goh Kim Lian memaklumkan kepada wartawan, keluarga Yau berpuas hati dengan keputusan hari ini.

"Sekurang-kurangnya kini kita boleh melangkah ke hadapan. Inkues telah dijalankan secara terperinci dengan segala kemungkinan telah dipertimbangkan oleh mahkamah." kata Goh.