MALAYSIA
Kematian Zara Qairina: Ibu percaya wujud unsur jenayah - Peguam

Ibu Zara Qairina percaya kematian anaknya mempunyai unsur jenayah dan buli. - Foto Sinar Harian
KOTA KINABALU: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, 13, percaya bahawa anaknya tidak membunuh diri, sebaliknya wujud unsur jenayah yang menyebabkan kematiannya.
Ringkasan AI
- Ibu Allahyarham, Noraidah Lamat, menolak dakwaan bunuh diri dan percaya terdapat unsur jenayah di sebalik kematian anaknya di kawasan asrama sekolah, termasuk dakwaan buli oleh pelajar senior.
- Peguam memaklumkan tiada maklumat diterima daripada pihak polis antara 17 hingga 27 Julai, menimbulkan kebimbangan terhadap tahap siasatan, walaupun Pesuruhjaya Polis Sabah kemudian menyatakan siasatan sedang dijalankan dengan 60 individu telah dipanggil.
- Noraidah telah membuat laporan polis tambahan dan menyerahkan rakaman perbualan Zara yang mendedahkan ugutan oleh pelajar senior, serta menyatakan keraguan terhadap kecederaan fizikal yang tidak konsisten dengan dakwaan jatuh dari tingkat tiga bangunan.
“Atas dasar ini, anak guam kami menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. Namun, sejak 17 Julai sehingga 27 Julai lalu, anak guam kami tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak polis mengenai perkembangan siasatan.
“Pihak polis juga tidak mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media massa sepanjang tempoh tersebut. Kesunyian inilah yang merisaukan anak guam kami dan dianggap sebagai satu indikasi bahawa kematian Zara tidak disiasat dengan sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan tersebut lagi, hanya pada 28 Julai barulah Pesuruhjaya Polis Sabah mengeluarkan satu kenyataan ringkas bahawa siasatan sedang dijalankan.
“Pada 31 Julai 2025, Pesuruhjaya Polis Sabah memaklumkan dalam satu sidang media bahawa seramai 60 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan," katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, pada 30 Julai 2025, anak guam mereka telah memfailkan satu laporan polis tambahan di Balai Polis Sipitang, memohon agar pihak polis menyiasat kes kematian Zara secara teliti.
“Ini kerana beliau mempunyai rakaman perbualan telefon dengan Zara yang memaklumkan terdapat pelajar senior yang sering mengganggu dan membulinya.
“Antaranya ialah individu dikenali sebagai ‘Kak M’ yang pernah mengugut Zara dengan berkata ‘Kalau aku touch-touch kau ni, berdarah kau ni’,” katanya.
Menerusi laporan polis itu juga, Noraidah menyatakan keraguannya terhadap punca kematian Zara yang didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan.
“Wajah Zara tidak menunjukkan kecederaan fizikal, lebam atau luka yang lazimnya berkaitan dengan kecederaan akibat jatuh dari tempat tinggi.
“Ini ditambah dengan tindakan pihak sekolah yang meminta anak guam kami agar tidak membuat laporan polis,” katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami