MALAYSIA
Kematian Zara Qairina: Jangan politikkan tragedi ini - AMK Pulau Pinang

AMK Pulau Pinang menegaskan sebarang usaha untuk meraih keuntungan politik daripada tragedi tersebut disifatkan sebagai tindakan tidak bermoral. - Foto AMK Pulau Pinang
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya sebarang cubaan untuk mempolitikkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, selepas ditemui tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha di Papar pada 16 Julai lalu.
Ringkasan AI
- AMK Pulau Pinang menolak sekeras-kerasnya cubaan mempolitikkan tragedi Zara Qairina, sambil menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bermoral dan tidak menghormati nilai kemanusiaan.
- AMK menegaskan bahawa Malaysia ialah negara hukum, dan tiada individu akan dilindungi daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah, tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
- AMK menyokong penuh siasatan telus oleh PDRM serta kenyataan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri, dan menyatakan solidariti bersama keluarga mangsa serta rakyat Malaysia yang menuntut keadilan.
"Tiada sesiapa yang akan dilindungi daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah, tanpa mengira pangkat, darjat, atau kedudukan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
AMK Pulau Pinang menambah pihaknya menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail agar semua pihak memberikan kepercayaan penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat kes tersebut dengan telus, menyeluruh, serta adil sehingga keadilan dapat ditegakkan.
Jelas kenyataan itu lagi, AMK Pulau Pinang berdiri teguh bersama keluarga mangsa serta rakyat Malaysia yang mendambakan keadilan buat Allahyarham Zara Qairina.
Dalam masa sama, AMK Pulau Pinang menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham di atas pemergian pelajar berusia 13 tahun itu.
Pada 9 Ogos lalu, Perdana Menteri menegaskan siasatan berhubung kes kematian Zara Qairina perlu dilakukan secara telus tanpa melindungi sesiapa.
Beliau berkata, kes tersebut tidak boleh dipandang ringan, terutamanya memandangkan pelbagai dakwaan yang timbul termasuk mangsa terjatuh, ditolak serta dibuli.
Zara Qairina disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu, Sabah pada 17 Julai lepas.
Pelajar itu dibawa ke hospital berkenaan selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai lepas.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami