MALAYSIA
Kematian Zara Qairina: Laporan lengkap siasatan sudah diterima Jabatan Peguam Negara - PM

Anwar ketika berucap pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPNK) Peringkat Kebangsaan 2025, di SICC, Kota Kinabalu pada Ahad. - Foto Jabatan Penerangan Malaysia
KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima laporan lengkap siasatan berhubung kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara telah menerima laporan lengkap siasatan polis berhubung kematian pelajar Zara Qairina Mahathir, dan beliau sendiri telah berhubung dengan Ketua Polis Negara serta Menteri Dalam Negeri bagi mempercepatkan siasatan.
- Beliau menegur tindakan segelintir pihak yang menyerang Menteri Pendidikan secara terburu-buru, menekankan bahawa kematian adalah isu serius yang perlu disiasat secara adil dan bukan dijadikan bahan fitnah terhadap individu tertentu.
- Anwar menegaskan bahawa tiada individu, termasuk yang berpangkat tinggi, akan dilindungi jika terbukti terlibat dalam jenayah, dan menyeru agar rakyat tidak hanya tertumpu kepada isu sensasi tetapi turut memberi perhatian kepada nasib golongan petani dan nelayan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad.
Anwar menjelaskan, beliau sendiri telah berhubung secara langsung dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Menteri Dalam Negeri bagi meminta siasatan dijalankan segera serta segala fakta dikumpulkan secara menyeluruh.
"Ketua Polis Negara maklumkan kepada saya bahawa 60 individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan. Kita perlu ingat, negara ini adalah negara yang mengikut undang-undang, bukan negara yang dipenuhi dengan fitnah.
"Siapa pun, sama ada Tan Sri, Datuk Seri, menteri – jika terlibat dalam jenayah pembunuhan atau bersengkongkol – tidak akan dilindungi. Tetapi jangan sesekali membuat fitnah terhadap anak menteri, saudara kepada timbalan perdana menteri atau timbalan ketua menteri," tegas beliau.
Anwar turut memaklumkan bahawa laporan lengkap polis telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada hari sebelumnya, selepas beliau menghadiri majlis Musabaqah al-Quran.
"Saya panggil Peguam Negara dan tanya. Dia kata 'ya', laporan itu kami terima hari Isnin. Saya tidak campur tangan, saya cuma bertanya supaya rakyat tahu perkembangan sebenar," ujarnya.
Beliau turut mengingatkan supaya tumpuan negara tidak hanya terarah kepada isu sensasi semata-mata, sebaliknya juga perlu memberi perhatian kepada nasib rakyat bawahan.
"Saudara, sekali lagi saya ingatkan, jangan kita lupa nasib petani dan nelayan yang perlu terus diberi perhatian," katanya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami