KEDAULATAN dan kepentingan nasional adalah dua perkara yang saling bergantungan dan bergerak seiring demi memastikan kelangsungan sesebuah negara terus terpelihara di dalam sistem antarabangsa.

Bagi memastikan kedua-dua perkara itu terus subur, kebijaksanaan dasar luar perlu dioptimumkan bagi mendepani cabaran dan ancaman aktor-aktor lain di dalam sistem antarabangsa, sama ada dari aktor negara mahupun dari aktor bukan negara.

Oleh kerana itu, tidak hairan mengapa sistem antarabangsa ini bersifat dinamik kerana ia didasari oleh sifat manusia yang rencam keperluan dan kehendaknya.

Mana-mana negara di dalam sistem antarabangsa tidak dapat lari daripada saling bergantungan di antara satu sama lain.

Oleh kerana itu, konsep globalisasi mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada sekalian negara di dunia.

Ibarat sebuah belantara yang didiami oleh berbagai jenis haiwan, pasti akan ada haiwan pemangsa dan mangsa.

Di dalam politik antarabangsa, haiwan pemangsa atau karnivor ini boleh diibaratkan negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan negara-negara dunia pertama yang diistilahkan sebagai negara ‘core’, manakala haiwan herbivor yang sering menjadi mangsa kepada haiwan pemangsa di dalam belantara politik dunia adalah negara-negara kecil yang diistilahkan sebagai negara ‘periphery’.

Setiap ‘haiwan’ di dalam belantara politik antarabangsa perlu meneruskan kelangsungan hidup mereka dan kelangsungan ini amat berkait rapat dengan konsep kedaulatan dan kepentingan nasional.

Melalui sistem politik antarabangsa, lazimnya negara-negara periphery akan menggunakan 3 pendekatan dasar luar bagi meneruskan kelangsungan kedaulatan mereka iaitu dasar ‘hedging’, dasar berbaik-baik dengan semua negara tanpa terikat dengan sesebuah negara kuasa besar sahaja, dasar ‘bandwagoning’, iaitu menjadi sebuah negara yang bernaung di bawah negara kuasa besar serta dasar isolasi, iaitu tidak menjalankan sebarang hubungan yang serius dan aktif dengan mana-mana negara selain menutup pintu kepada segala aktiviti politik antarabangsa sekalipun masih menjalankan hubungan perdagangan dalam skala kecil.

Ketiga-tiga pendekatan dasar luar ini amat berkait rapat dengan kepentingan nasional masing-masing selain situasi politik domestik setiap negara.

Kemboja adalah sebuah negara yang terletak di tanah besar Asia Tenggara, bersempadan dengan Thailand, Laos dan Vietnam selain mempunyai sejarah keperihan rakyatnya yang cukup panjang akibat peperangan dan kemiskinan yang mencengkam.

Apabila berbicara tentang Kemboja, pasti rejim Pol Pot, pembunuhan massal, peperangan dengan negara jiran seperti Siam ketika zaman pra kolonial, penentangan terhadap kuasa kolonial, rakyat yang majoritinya miskin, isu kebuluran, kebergantungan hidup dengan sumber air yang kian terhad di Tasik Tonle Sap selain lambang utuh yang menjadi ikon negara mereka iaitu Angkor Wat akan terbayang di fikiran.

Status Kemboja sebagai sebuah negara dunia ketiga ditambah dengan kekurangan kemampuan kerajaan pentadbiran Hun Sen menyediakan prasarana yang mencukupi kepada sekalian rakyatnya menyebabkan mereka mula mencari alternatif lain bagi meneruskan kelangsungan Kemboja sebagai salah sebuah aktor berdaulat di dalam sistem antarabangsa.

Mengambil kira landskap politik antarabangsa yang mulai bergerak ke arah yang lebih dinamik melalui kemunculan China sebagai sebuah negara kuasa besar baharu dunia, Kemboja melihat perkara ini dalam kaca mata yang berbeza berbanding negara-negara jiran di ASEAN.

Hubungan yang lebih rapat mulai dilaksanakan antara Hun Sen dan Xi Jinping sehingga mereformasikan dasar luar Kemboja daripada dasar hedging kepada dasar bandwagoning.

Kegusaran Kemboja bagi memenuhi kepentingan rakyatnya menyebabkan mereka menjadikan China sebagai negara pelabur terbesar di negara tersebut melalui penyerahan konsesi memajukan sebuah kawasan yang dikenali sebagai Sihanokville.

Rentetan daripada itu telah menjadikan China sebagai pelabur langsung asing terbesar Kemboja dalam tempoh lima tahun yang lalu dengan menyuntik sejumlah AS$5.3 bilion ke negara miskin itu.

Republik itu juga merupakan rakan dagang terbesar Kemboja, diikuti oleh Kesatuan Eropah (EU).

Bagi Phnom Penh, langkah tersebut telah berjaya membantu negara mereka keluar daripada kemelut dan tuntutan nasional mereka dengan membawa pelaburan asing yang begitu banyak.

Melalui cara itu, harapan Hun Sen sebagai Perdana Menteri Kemboja adalah menyediakan peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi Kemboja dan segalanya tampak berjalan dengan lancar.

Namun, setiap hubungan dengan negara kuasa besar pasti akan ada imbangannya.

Seperti mana analogi di sebuah hutan belantara, apabila haiwan herbivor cuba mendapatkan bantuan daripada haiwan karnivor, sudah pasti akan ada yang dikorbankan.

Tidak semudah itu untuk China sewenang-wenangnya membantu Kemboja tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Kedudukan geografi Kemboja, ditambah keperluan China meluaskan pengaruh mereka antara yang menjadi faktor utama China membantu Kemboja.

Mutakhir ini, China dilihat begitu aktif menjalankan dasar imperialisnya melalui ekonomi dengan menyelinap masuk ke benua Afrika, Amerika Selatan dan juga negara-negara di benua Asia.

Bantuan berupa pelaburan, suntikan dana, sokongan politik telah mewarnai watak China yang baharu.

Hal ini disebabkan keinginan dan cita-cita China untuk menjadi sebuah negara kuasa hegemoni antarabangsa yang baru menggantikan Amerika Syarikat yang semakin hilang cengkaman.

Amerika Syarikat berdepan dengan berbagai masalah dan krisis ekonomi dan politik sehingga tidak mampu menjalankan “tugasnya” sebagai negara kuasa hegemoni dunia. Oleh kerana itu, segala tindak tanduk China yang dianggap “barbarian” ke atas negara-negara kecil khususnya di rantau Asia Pasifik seakan tidak mampu lagi dikawal oleh Amerika Syarikat melainkan amaran demi amaran sahaja.

Kemboja sebenarnya sedang mempertaruhkan kedaulatan negara mereka terhadap China dengan jumlah pinjaman yang begitu tinggi sehingga menyebabkan terdapat kemungkinan Kemboja akan jatuh ke perangkap hutang.

Hal yang sama telah dilalui oleh Sri Lanka sehingga menyebabkan kedaulatannya ke atas pelabuhan Hambantota terlepas kepada China.

Dasar bandwagoning sering kali menatijahkan sesebuah negara terpaksa ‘melepaskan’ kedaulatan sebahagian atau keseluruhan negara mereka kepada kuasa besar dan ini yang sedang dilalui oleh Kemboja sekalipun kerap kali dinafikan oleh Phnom Penh.

Menurut Sam Rainsy, yang merupakan pemimpin pembangkang Cambodian National Rescue Party (CNRP), beliau tidak menyalahkan China kerana sememangnya China tidak akan sesekali melepaskan peluang keemasan seperti itu.

Sebaliknya, beliau menyalahkan Hun Sen kerana membenarkan China menjadi sumber tunggal pelaburan negara itu, sehingga menjadikan Kemboja terlalu bergantung pada China.

Sebagai sebuah negara berdaulat, Kemboja tidak seharusnya bergantung kepada satu negara semata-mata untuk mengekalkan kemerdekaan dan kelangsungan mereka.

Kemboja seharusnya memastikan bahawa pelaburan langsung asing datang dari pelbagai sumber dan bukan tertumpu kepada China semata-mata untuk membangunkan negara mereka.

Sejarah telah menyaksikan banyak negara yang jatuh kepada negara lain akibat terlalu bergantung kepada sesebuah negara sahaja.

Oleh kerana kebergantungan Kemboja yang begitu tinggi kepada China, Beijing sedang mempertimbangkan untuk membina pangkalan tenteranya di negara tersebut dan perkara ini mungkin tidak akan mampu dibantah oleh Kemboja.

Situasi ini bukan sahaja menyukarkan Kemboja, malahan membawa kesan negatif kepada keharmonian rantau Asia Tenggara sebagai sebuah rantau bebas dan berkecuali.

Keinginan China ini adalah bagi mengukuhkan penguasaan mereka di rantau ini seterusnya menguasai secara total Laut China Selatan sebagai sumber ekonomi dan strategik mereka kerana sesungguhnya Kemboja menawarkan lokasi yang amat strategik untuk maksud tersebut.

Sehingga kini, China telah berjaya menempatkan ribuan rakyatnya di Kemboja atas nama pekerja import bukan sahaja di Sihanokville, malahan di seluruh negara Kemboja.

Hal ini menyebabkan berlakunya rasa tidak puas hati rakyat tempatan dengan kebanjiran rakyat China yang “bekerja” di sana dalam pelbagai sektor termasuk pertanian.

Persaingan antara rakyat Kemboja dengan pendatang China pasti akan menyebabkan berlakunya krisis yang jika gagal ditangani pentadbiran Hun Sen mampu meletakkan Kemboja dalam keadaan yang sangat genting.

Sebagai negara yang terletak di dalam rantau Asia Tenggara, sebarang krisis yang dihadapi oleh Kemboja pasti mempengaruhi negara-negara jiran yang lain.

Jika diamati dengan teliti, dasar-dasar sesebuah negara yang berorientasikan kepentingan nasional jika tidak disertakan dengan kebijaksanaan akan mengundang ketidakstabilan bukan sahaja di negara terbabit, malahan di keseluruhan rantau.

Maka, sebagai sebuah negara yang berdaulat, sesebuah negara itu perlu menjalankan dasar luar yang dinamik dan tidak terikat dengan sesebuah negara sahaja.

Ini akan dapat membantu sesebuah negara tersebut mempunyai keupayaan melakukan cegah rintang sekalipun mereka bukan sebuah negara kuasa ketenteraan.

Dunia moden pasca Perang Dunia kedua telah melalui struktur antarabangsa yang bercorak bipolar (Amerika Syarikat-Kesatuan Soviet) dan unipolar (Amerika Syarikat), dan telah terbukti struktur bipolar lebih stabil dalam menjamin keharmonian dunia.

Melalui struktur antarabangsa yang bercorak bipolar, negara-negara kecil mempunyai sedikit ‘kuasa’ sebagai pihak yang berkecuali dengan menjalankan dasar luar yang tidak menyebelahi mana-mana kuasa.
Ini telah menjamin kedaulatan dan kelangsungan mereka di dalam belantara politik antarabangsa.
Semoga Kemboja belajar daripada sejarah dan pengalaman negara-negara yang telah melakukan ‘kesilapan’. 


* Hisyam Basabah merupakan penulis bebas dan penganalisis sosial.

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.