MALAYSIA
Kementerian Digital lancar tinjauan awam kebangsaan melalui portal Rakyat Digital

Kementerian Digital memberi jaminan bahawa semua data yang dikumpul akan dikendalikan dengan tahap privasi dan keselamatan tertinggi. - Gambar rakyatdigital.gov.my
PUTRAJAYA: Kementerian Digital hari ini melancarkan satu tinjauan awam kebangsaan melalui portal Rakyat Digital bagi mengumpul pandangan rakyat berkaitan inisiatif serta transformasi digital negara.
Menurut kenyataan Kementerian Digital hari ini, maklum balas yang diterima akan digunakan untuk membentuk tindakan konkrit bagi penilaian separuh penggal Aspirasi MyDIGITAL dan membantu memperkukuh strategi masa depan negara ke arah ekosistem digital yang lebih berdaya tahan dan menyeluruh.
"Penyertaan rakyat dalam tinjauan ini bukan sekadar perkongsian pandangan, tetapi turut menjadikan mereka rakan pencorak Malaysia yang berdaya digital.
"Ini bertujuan memastikan dasar digital negara benar-benar mencerminkan keperluan dan aspirasi rakyat serta memastikan manfaat transformasi digital dapat dirasai oleh semua," menurut kenyataan itu.Antara perkara yang bakal dikaji termasuk cabaran akses dan kesalinghubungan digital orang awam dan industri, jurang literasi digital dan keperluan latihan serta risiko dan peluang teknologi baharu sedang muncul.
"Maklumat itu akan membimbing penambahbaikan dasar serta pembangunan inisiatif yang benar-benar menangani realiti semasa, terutamanya bagi komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan," menurut kenyataan itu.
Kementerian Digital memberi jaminan bahawa semua data yang dikumpul akan dikendalikan dengan tahap privasi dan keselamatan tertinggi.
"Tinjauan ini turut meminta maklumat poskod untuk analisis demografik secara umum dan bukan peribadi, tanpa mengenal pasti individu," menurut kenyataan itu.
Semua rakyat Malaysia tanpa mengira usia, latar belakang atau lokasi digalak untuk menyertai tinjauan berkenaan melalui pautan survey.rakyatdigital.gov.my.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami