PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi telah menerima 3,398 permohonan setakat 25 Ogos lalu bagi projek Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) untuk membantu rakyat melalui penambahbaikan infrastruktur kecil awam sejak program itu dilancarkan Jun lepas.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata daripada jumlah itu, 1,491 permohonan diterima dari pihak individu, 989 dari organisasi bukan kerajaan dan 918 permohonan diterima dari organisasi kerajaan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata Sabah mencatatkan jumlah permohonan paling tinggi iaitu sebanyak 909 projek, diikuti Negeri Sembilan (559 projek) dan Sarawak sebanyak 268 projek.

"Daripada 3,398 permohonan, 1,385 projek telah diluluskan manakala 245 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi justifikasi dan syarat permohonan di bawah IKR.

"Senarai permohonan projek yang diluluskan telah dikemukakan kepada PBT atau agensi pelaksana yang berkenaan untuk semakan sebelum penyaluran dana dibuat," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata antara projek di bawah IKR yang telah diluluskan ialah baik pulih jalan sebanyak 366 projek; baik pulih parit atau longkang (126 projek); baik pulih surau atau masjid (91 projek); bina baharu dan baik pulih tandas awam (25 projek); dan bina baharu hentian bas sebanyak sembilan projek.

Rafizi berkata orang ramai masih boleh memohon bantuan projek-projek infrastruktur awam kecil melalui laman web IKR di alamat ikr.ekonomi.gov.my.

Beliau berkata IKR membolehkan rakyat memohon secara terus mengenai keperluan projek infrastruktur kecil awam di kawasan masing-masing dengan kos projek tidak melebihi RM200,000.

-- BERNAMA