15 maut dalam perlanggaran kapal Pengawal Pantai Greece dengan bot migran

Sebanyak empat kapal Pengawal Pantai, sebuah bot persendirian yang membawa penyelam sukarelawan serta sebuah helikopter Tentera Udara Hellenic terlibat dalam operasi berkenaan. - Gambar fail/ Reuters
ATHENS: Jumlah korban akibat perlanggaran antara sebuah kapal peronda Pengawal Pantai Hellenic (HCG) dengan sebuah bot yang membawa migran dan pelarian di perairan berhampiran Pulau Chios di Laut Aegean pada Selasa malam meningkat kepada 15 orang, lapor Xinhua menurut pihak berkuasa tempatan.
Penyiar nasional Greece, ERT, melaporkan bahawa seorang daripada 24 migran yang diselamatkan dan dibawa ke sebuah hospital berhampiran kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya.
Sebelum itu, mayat 14 migran ditemukan di laut. Mangsa terdiri daripada 11 lelaki dan empat wanita, menurut HCG dan pegawai kesihatan.
Kemalangan itu berlaku kira-kira 9 malam waktu tempatan.
Beberapa kanak-kanak dilaporkan antara yang cedera, selain dua wanita hamil yang masing-masing dilaporkan mengalami keguguran.
Kebanyakan mangsa yang terselamat mengalami kecederaan ringan, menurut Pusat Bantuan Kecemasan Kebangsaan.
Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di tengah-tengah kebimbangan bahawa terdapat mangsa yang masih hilang.
Sebanyak empat kapal Pengawal Pantai, sebuah bot persendirian yang membawa penyelam sukarelawan serta sebuah helikopter Tentera Udara Hellenic terlibat dalam operasi berkenaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


