PUTRAJAYA: Semua kementerian dan jabatan kerajaan diwajibkan menghantar wakil seramai boleh bagi menghadiri Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023, yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini esok.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata beliau menjangkakan lebih 5,000 orang akan hadir ke majlis Amanat Perdana, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pukul 2 petang.

Beliau berkata penjawat awam yang datang dari jauh juga dinasihatkan untuk turut menyertai sambutan Hari Kebangsaan 2023 pada Khamis ini.

"Bagi yang telah datang dari jauh, mungkin boleh lajakkan sehari dua lagi perjalanan untuk menghadiri majlis Amanat Perdana Hari Kebangsaan esok, serta sambutan Hari Kebangsaan yang akan turut diadakan di Putrajaya 31 Ogos 2023," katanya.

Mohd Zuki berkata demikian ketika berucap pada Malam Anugerah Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (Maksak) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Sementara itu, beliau mahu penjawat awam menterjemahkan semangat patriotisme menerusi tindakan antaranya dalam bekerja atau dalam latihan sukan yang diwakili.

"Kalau boleh, harumkanlah nama negara kita sehingga ke persada antarabangsa, agar dunia tahu Malaysia kini telah bersedia untuk menjadi sebuah negara yang maju, gagah dan terkehadapan dalam pelbagai bidang," katanya.

Memetik kisah benar Malbatt pada 1993 yang kini difilemkan dengan tajuk MALBATT: MISI BAKARA, Mohd Zuki berkata pengajaran kisah benar itu, menujukkan seluruh penjawat awam perlu menggenggam erat semangat patriotisme dengan kukuh dan teguh di dalam sanubari masing-masing.

Beliau berkata filem MALBATT: MISI BAKARA, memaparkan bagaimana askar-askar 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia, telah menyelamatkan askar Amerika Syarikat yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Ibu Negara Somalia, dalam kejadian yang digelar Black Hawk Down dalam sejarah ketenteraan dunia pada 1993.

"Dalam misi MALBATT ini yang pada asalnya bertujuan mengawasi gencatan senjata di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Batalion Malaysia telah diarahkan dalam satu misi berani mati untuk menyelamatkan 70 tentera US Ranger dan Delta Force Amerika Syarikat (AS), yang terperangkap sehingga mengakibatkan satu nyawa askar kita telah terkorban, manakala puluhan lagi telah cedera parah.

"Menerusi kejayaan misi ini, yang pada akhirnya tentera kita berjaya mengeluarkan tentera AS dari ancaman musuh selepas enam jam bertempur, dunia telah mula mengenali Malaysia kerana keberanian dan keperwiraan 70 orang tentera kita di Somalia," katanya.

Mohd Zuki juga mengarahkan agar bangunan kerajaan serta kuarters kerajaan, untuk menyemarakkan kibaran Jalur Gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan.

"Memang benar semangat patriotisme ini tidak boleh diukur melalui kibaran bendera semata-mata, namun kita harus ingat melalui kibaran benderalah kita dapat menzahirkan rasa cinta kepada negara ini," katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 dengan tema 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini.

Ini kali kelima Putrajaya menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan. Putrajaya pernah menjadi tuan rumah pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.

-- BERNAMA