Kementerian Kesihatan menjangkakan tiada paten baharu bagi penyakit Difteria di negara ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Namun Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata langkah berjaga-jaga masih diambil dengan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ditugaskan untuk menjalankan kajian mengenai perkara itu.

"Belum ada pengesahan terdapat jenis (strain) baharu (Difteria), kalau kita lihat profil difteria dalam tempoh 10 tahun ini, tahun 2012 merekodkan kes tertinggi sebanyak 11 kes dan selepas itu hanya ada dua atau tiga kes sahaja.

"Hanya tahun ini, 24 kes direkodkan dan peningkatan ini yang tertinggi pernah kita alami sejak Program Imunisasi Kebangsaan Malaysia (NIP) diperkenalkan pada awal 1950-an.

"IMR membuat kajian sejak awal tahun ini dan pada pandangan kita mungkin tidak wujud jenis baharu tapi kita tetap kaji sebagai langkah berhati-hati," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas perasmian program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) tapak binaan dan majlis menandatangani dokumen kolaborasi antara Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya yang kemudian menyaksikan dokumen kolaborasi ditandatangani oleh ketiga-tiga agensi tersebut.

Dr Lokman berkata IMR yang ditugaskan membuat kajian berkenaan telah mengambil sampel kuman yang kemudian dibiakkan semula bagi memastikan sekiranya wujud paten perubahan baharu bagi penyakit itu.

"Kita telah mengambil sampel dan ia akan dibiakkan semula dalam makmal untuk melihat profailnya serta genetiknya sama ada masih sama atau tidak.

"Proses ini mengambil masa lama mungkin dalam tempoh tiga ke empat minggu baru boleh nampak. Laporan penuh bagi kajian ini akan diumumkan menteri nanti," katanya.

Sementara itu, mengenai program COMBI di tapak binaan, Dr Hilmi berkata kerjasama tiga agensi berkenaan berupaya mengekang peningkatan kes denggi di tapak pembinaan dan kawasan sekitarnya.

"Tapak pembinaan telah dikenal pasti sebagai medan aktif pembiakan nyamuk Aedes dan adanya program ini kita mampu memantau dan mengesan jejentik Aedes ketika menjalankan pemeriksaan rutin di kawasan tapak pembinaan.

"Setakat ini sudah 125 tapak pembinaan diperiksa di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya dan 52 daripadanya telah dikenal pasti sebagai kawasan pembiakan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Dr Hilmi berkata sejumlah 61,534 kes denggi dilaporkan bagi tempoh Januari hingga 16 Julai lepas, penurunan 3,771 berbanding 65,305 kes bagi tempoh sama di seluruh negara pada tahun lepas.

"Sewaktu El-Nino iaitu keadaan kering, kes denggi menurun, namun sekarang telah naik balik..minggu lepas kita rekod sebanyak kes 2,200 kes denggi seminggu untuk seluruh Malaysia," katanya.