Kementerian Kewangan menjangka bilangan pelancong penjagaan kesihatan meningkat ketara kepada dua juta menjelang 2020 daripada satu juta ketika ini susulan pengecualian cukai bagi bil perubatan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata sebelum ini Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikenakan ke atas bil perubatan tetapi kini dikecualikan daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (SST) 2.0.

"Kos perubatan adalah faktor kedua paling penting selepas keyakinan bagi pelancong perubatan.

"Kos perubatan di Malaysia adalah kompetitif dan ini (kos) akan mendapat manfaat daripada pengecualian SST ke atas bil perubatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Risikan Pasaran Pelancongan Perubatan (InsigHT) 2018, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia, Sherene Azli.

Terdahulu, dalam ucapannya, Amiruddin berkata Malaysia memperoleh hasil pelancongan perubatan berjumlah RM1.3 bilion tahun lepas, dengan anggaran RM4 bilion daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan bukan berkaitan lain seperti pengangkutan, penginapan dan pelancongan.

Kerajaan berharap dapat menggandakan angka ini kepada RM2.8 bilion menjelang 2020, katanya.

Beliau berkata industri merekodkan kadar pertumbuhan tahunan memberangsangkan antara 16 dan 17 peratus setiap tahun, mengatasi purata kadar pertumbuhan global setahun pada 12-14 peratus.

Negeri-negeri penyumbang utama bagi pelancongan perubatan ialah Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, dan Sarawak.

--BERNAMA