KUALA LUMPUR: Bagi memastikan profesionalisme warga pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) berada di tahap terbaik, Kementerian Pembangunan Luar Bandar memperuntukkan dana sejumlah RM1.5 juta bagi tahun ini. 

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peruntukan itu bertujuan untuk memberikan latihan dan pembangunan kompetensi bagi warga pendidik MARA.

"Peruntukan itu boleh digunakan 10,485 warga pendidik di bawah agensi itu bagi memastikan kualiti pendidikan di Institusi Pendidikan MARA (IPMA) sentiasa relevan malah setanding dengan tahap pendidikan di negara ini.

"MARA telah berusaha untuk meningkatkan taraf kemahiran agar para pendidik daripada institusi MARA ini dapat ditingkatkan dan tahap capaian mereka berada pada tahap yang profesional," katanya ketika berucap pada sambutan Hari Pendidik MARA 2022 di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Mahdzir berkata sejumlah 4,336 warga pendidik MARA telah ditawarkan peluang melanjutkan pengajian ke pelbagai peringkat lebih tinggi seperti Ijazah Doktor Falsafah (PHD), Sarjana, Sijil Profesional, Sijil Kemahiran dan Diploma Pendidikan dari tahun 2002 hingga 2020.

Menurut Mahdzir lagi, MARA sentiasa peka dan berusaha bagi memastikan kelancaran dalam penyampaian ilmu kepada pelajar melalui penjagaan serta penaiktarafan kemudahan infrastruktur di pusat pendidikan MARA.

Inisiatif ini penting katanya kerana dengan inisiatif inilah pembelajaran dalam kalangan pelajar akan menjadi lebih efisien dan sistematik.

"Melalui projek naik taraf fizikal, kita dapat memastikan kesemua pelajar IPMA seramai 111,210 orang akan mendapat kemudahan pembelajaran yang lebih selesa dan kondusif," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pendidik MARA seharusnya segenap peluang yang asa untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (PdP).

"Sebagai contoh, saluran YouTube mahupun TikTok perlu digunakan untuk penyampaian ilmu, selain penggunaan pelbagai aplikasi sebagai saluran maklumat serta kandungan silibus subjek yang bermanfaat," jelasnya.