Kementerian Pendidikan pada Khamis mengulangi komitmen untuk mengurangkan bebanan guru sekaligus mengembalikan tugas hakiki mereka iaitu mendidik anak-anak bangsa.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata pihaknya akan memastikan bahawa sehingga hujung tahun ini para guru hanya memfokuskan kepada tugas hakiki iaitu bukan sahaja mendidik, malah berusaha membina nilai-nilai kemanusiaan.

Beliau berkata dalam amanat kementerian pada 14 Jan lepas, pihaknya telah melakar pelan untuk meringankan tugas guru dengan harapan agar para guru boleh kembali kepada tugas hakiki mereka iaitu mendidik.

"Bukan sekadar mereka terlibat dengan proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas semata-mata tetapi juga mereka menanamkan nilai, membina karakter dan nilai-nilai kemanusiaan di dalam jiwa anak-anak kita.

"Itu antara komitmen kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Gerakan Massa 'Terima Kasih Cikgu' sempena sambutan Hari Guru Kebangsaan 2019, di sini malam tadi.

Beliau berkata amanat itu sedang berjalan di peringkat sekolah dan mendapat maklum balas positif.

"Cuma mungkin ada beberapa tempat yang belum sampai, masih terpencil tetapi kita cuba pastikan bahawa sehingga hujung tahun ini semua guru-guru sudah kembali menjalankan tugas mereka yang hakiki iaitu mendidik anak-anak bangsa kita," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis pelancaran malam tadi, Maszlee berkata tanda pagar, #TerimaKasihCikgu, akan dijadikan slogan sempena sambutan Hari Guru pada tahun ini sebagai tanda menghargai jasa dan pengorbanan guru.

"Program malam ini merupakan pra pelancaran kepada sambutan Hari Guru 2019. Program malam ini juga amat bermakna kerana ia diusahakan oleh persatuan ibu bapa dan komuniti. Ini menunjukkan bahawa pendidikan adalah milik semua dan tanggungjawab semua," katanya.

"Kita melihat bahawa ini merupakan satu petanda bahawa pendidikan kita berada di atas landasan yang betul dan ini memberikan harapan bahawa cerahnya masa depan pendidikan kita untuk membangunkan rakyat dan negara," tambahnya.

-- BERNAMA