JOHOR BAHRU: Kementerian Perpaduan Negara akan melaksanakan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kali ketiga tahun ini bagi menilai tahap perpaduan masyarakat berbilang kaum dalam negara.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata berdasarkan IPNas yang dilaksanakan bersama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun lepas, terdapat peningkatan tahap perpaduan negara kepada 0.62 berbanding 0.57 pada 2018.

"Kita dapati ada peningkatan dalam tahap perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Sekarang kita juga ada slogan baharu iaitu Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI, jadi kita ambil peluang itu untuk tingkatkan lagi perpaduan rakyat.

"Untuk itu, kita telah sediakan kerangka perpaduan yang memberi fokus utama kepada dua aspek iaitu kebudayaan dan kemasyarakatan, aspek lain-lain seperti ekonomi, perundangan itu kita serah kepada kementerian masing-masing," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai 2023 di Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang di sini, malam tadi.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon.

Aaron berharap IPNas yang bakal dilaksanakan dalam masa terdekat itu akan menunjukkan tahap perpaduan yang meningkat, selari dengan penubuhan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat itu, kerajaan akan menampilkan pelbagai program seperti Program Semarak Kenegaraan, Program Semarak Perpaduan dan Program Semarak Rahmah bagi memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat dan komuniti di negara ini.

"Bagi Semarak Kenegaraan termasuk menerusi pembudayaan bacaan ikrar Rukun Negara. Dahulu mungkin kerap diamalkan di peringkat sekolah, tetapi selepas itu sudah kurang, jadi kita mahu kembalikan amalan itu.

"Semarak Perpaduan pula seperti program 'Unity Walk' dan juga Semarak Rahmah di peringkat kawasan rukun tetangga (KRT) yang akan menghimpunkan rakyat berbilang kaum dalam satu komuniti untuk melakukan aktiviti bersama-sama," katanya.

Mengenai Program Ramah Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai, Aaron berkata ia merupakan simbolik kepada perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Dianggarkan seramai 35,000 masyarakat Borneo menetap di Johor. Jadi saya amat berbangga dengan semangat Bangsa Johor yang menitik beratkan aspek kebersamaan dan kekitaan dalam menerima kepelbagaian budaya di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA