MALAYSIA
Kementerian Pertahanan tumpu peruntukan RM21.2b kepada kesiapsiagaan, pendidikan, kebajikan warga ATM

Di bawah kepimpinan Khaled Nordin, Kementerian Pertahanan menetapkan tiga tunjang utama sebagai asas pelaksanaan inisiatif – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan, Memperkasa Inisiatif Pendidikan, dan Mengeratkan Hubungan Awam-Tentera. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Peruntukan Belanjawan 2025 bagi Kementerian Pertahanan mencatat peningkatan sebanyak RM1.4 bilion berbanding tahun sebelumnya, iaitu daripada RM19.73 bilion kepada RM21.13 bilion.
Lonjakan ini menjadikan Kementerian Pertahanan antara tiga kementerian dengan bajet tertinggi negara, selepas Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Kementerian Pertahanan menetapkan tiga tunjang utama sebagai asas pelaksanaan inisiatif – Memperkukuh Ekosistem Kesejahteraan, Memperkasa Inisiatif Pendidikan, dan Mengeratkan Hubungan Awam-Tentera.
Pendekatan tersebut jelas mencerminkan hala tuju strategik kementerian dalam memastikan setiap peruntukan dimanfaatkan secara menyeluruh.Komitmen ini jelas menunjukkan usaha berterusan kementerian untuk menyentuh setiap aspek yang berada di bawah tanggungjawabnya – daripada kebajikan anggota dan keluarga ATM, pembangunan pendidikan anak-anak tentera, hinggalah kepada pengukuhan hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat awam.
“Kerajaan memperuntukkan RM21.2 bilion kepada Kementerian Pertahanan bagi memastikan kesiagaan penuh Angkatan Tentera Malaysia. Daripada jumlah ini, RM5.8 bilion adalah untuk kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan perolehan aset ketenteraan baharu.
“Kerajaan juga akan melancarkan program baharu PROTEGE – Veteran, yang mewajibkan kontraktor menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran ATM, khususnya mereka yang mempunyai kelayakan dalam bidang TVET.
“Selain itu, kerajaan akan terus menyokong pembangunan industri ketenteraan tempatan melalui pemindahan teknologi daripada pembekal aset dan menyokong syarikat seperti Aerodyne untuk menembusi pasaran eksport dalam aplikasi keselamatan dan kawalan sempadan,” kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen pada tahun lepas.
MEMPERKUKUH EKOSISTEM KESEJAHTERAAN
Antara tumpuan utama Kementerian di bawah tunjang ini adalah menjadikan kehidupan di seluruh kem tentera sebagai ruang menjana pendapatan tambahan kepada para penghuni yang mendorong kepada kesejahteraan warga ATM.
Pelaksanaan Program Ekonomi MADANI sebagai contoh, berteraskan konsep pemindahan ilmu dari Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) ke Kem ATM khususnya melalui program yang memanfaatkan kepakaran dan teknologi dari Universiti.
Usaha tersebut, memberi fokus kepada pemerkasaan komuniti terutamanya ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT). Ia mengambil pendekatan ‘whole of nation approach’, dengan melibatkan kerjasama merentasi sektor awam dan swasta seperti BAKAT ATM, IPTA dan Boustead Plantation Berhad.
Inisiatif ini bertujuan memastikan manfaat pembangunan yang dinikmati komuniti luar turut dirasai oleh warga ATM di dalam kem.
Turut menarik perhatian, program 'Work-Based Learning' (WBL) bertujuan mengiktiraf pengalaman anggota ATM melalui pemberian kelayakan sekurang-kurangnya pada peringkat diploma.
Menurut Kementerian, Kerajaan telah memberikan peruntukan awal sebanyak RM3 juta yang telah disalurkan buat julung kalinya pada tahun ini, membolehkan program ditawarkan secara percuma kepada anggota ATM yang terlibat, tanpa sebarang yuran atau caj pengajian.
Aspirasi utama program tersebut, menurut Kementerian lagi, bagi memastikan bakal pesara ATM yang mempunyai pengalaman kerja diberikan pengiktirafan yang sewajarnya, sekali gus menjadi asas untuk mereka melangkah ke alam kerjaya kedua dan memperoleh pekerjaan yang lebih baik.
Tidak ketinggalan, kebajikan dan kesejahteraan warga ATM yang sering menjadi perhatian Menteri, yang ditangani dengan pelbagai inisiatif antaranya – JanaVeteran; Bantuan Kebajikan; dan Kemudahan dan Sokongan Perubatan.
“Melalui JanaVeteran, veteran ATM menjana pendapatan stabil melalui pertanian fertigasi halia dan cili yang dibangunkan oleh BPlant, selain menyokong usaha kerajaan dalam menjamin keterjaminan makanan negara. Peserta akan menerima latihan asas pertanian untuk meningkatkan kemahiran mereka.
“Inisiatif Bantuan Kebajikan pula merangkumi pelbagai bentuk bantuan seperti sara hidup, persekolahan, kemasukan ke IPT, peralatan perubatan, bantuan kecemasan akibat bencana alam, dan pengurusan jenazah – semuanya bertujuan menjaga kebajikan menyeluruh veteran ATM dan keluarga mereka.
“Selain itu, Veteran ATM menerima bantuan rawatan jantung melalui IJN, rawatan penyakit buah pinggang, rawatan pakar di hospital dan klinik swasta, serta pembekalan ubat dan alat perubatan yang diperlukan untuk menjaga kesihatan mereka secara berterusan,” menurut Kementerian lagi.
MEMPERKASA INISIATIF PENDIDIKAN
Menyentuh mengenai sektor Pendidikan, terdapat beberapa inisiatif yang dilaksanakan, antaranya Simpanan Pendidikan Madani; e-Perkasa SPM; Sentuhan Elit SPM; Bantuan pengajian dalam dan luar negara; serta Laluan Khas Graduan PALAPES ke ATM.
“Simpanan Pendidikan Madani merupakan penabungan menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang akan memberi manfaat kepada anak-anak ATM untuk kemasukan sekolah Tahun 1.
“Setiap penerima manfaat akan menerima sumbangan berjumlah RM50 bagi pembukaan akaun Simpanan SSPN Prime. Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk amalan menabung dalam kalangan ibu bapa ATM dan anak-anak mereka bagi tujuan pendidikan tinggi masa akan datang.
“Bagi sesi persekolahan 2024 seramai 5,690 pelajar telah menerima manfaat dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 284,500 dan bagi sesi persekolahan 2025 seramai 3,775 pelajar dengan jumlah keseluruhan bernilai RM188,750,” menurut Kementerian lagi.
Selain itu ia berkata, 100 laluan khas kepada pegawai kadet Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) di universiti awam untuk menyertai ATM sebaik sahaja tamat pengajian ijazah sarjana muda, bermula tahun hadapan.
“Peluang ini merangkumi perkhidmatan ketiga-tiga cabang iaitu Darat, Laut dan Udara. Sebagai tambahan, kementerian turut mengkaji untuk menanggung sebahagian bayaran balik pinjaman PTPTN sebagai insentif kepada caloncalon berpotensi tinggi yang terpilih menyertai program ini,” kata Kementerian lagi.
USAHA MENGERATKAN HUBUNGAN AWAM-TENTERA
Antara yang menjadi tumpuan utama dalam tunjang ini pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 pada Januari 2025. PLKN 3.0 dirancang untuk dilaksanakan dalam tiga siri latihan sepanjang tahun dengan sasaran penyertaan seramai 1,200 pelatih.
Selain itu, Kementerian berkata, turut giat dilaksanakan ialah Pengukuhan Kerjasama Awam-Tentera (CIMIC), yang direka khas untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Bagi tahun 2025, sejumlah RM10 juta telah diperuntukkan untuk menjayakan program-program di bawah CIMIC, menunjukkan 11 peningkatan sebanyak RM3,606,100 atau 36 peratus berbanding peruntukan tahun 2024 sebanyak RM6,393,900. Sekurang-kurangnya sepuluh komponen dan inisiatif akan dilaksanakan pada tahun ini.
“Antaranya ialah Program Jiwa Murni yang menekankan konsep gotong-royong dan kerjasama antara orang awam dan pasukan kejuruteraan ATM, dengan peruntukan sebanyak RM3.2 juta,” menurut Kementerian lagi.
Kementerian berkata, semua program dan inisiatif di bawah CIMIC mesti dilaksanakan dengan lancar, menyantuni mereka yang memerlukan serta berperanan sebagai strategi untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang fungsi dan tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan serta kedaulatan negara.
KOMITMEN MENTERI PERTAHANAN
“Peningkatan sebanyak RM1.4 bilion atau 7.08% berbanding tahun sebelumnya ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh aspek keselamatan, kesiapsiagaan dan kebajikan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Dalam menyambut baik peruntukan tersebut, Ahli Parlimen Kota Tinggi itu menyifatkannya sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap peranan strategik ATM dalam menjaga kedaulatan negara.
“Kementerian Pertahanan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan atas keprihatinan yang dizahirkan dalam belanjawan ini.
“Kementerian komited memastikan segala peruntukan tersebut dibelanjakan dengan cara paling berhemah dan berimpak kepada semua,” katanya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami