KUALA LUMPUR: Halangan utama untuk mengakses pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dalam kalangan pelarian dan pencari suaka adalah kemiskinan.

Kekurangan sumber kewangan menyebabkan kanak-kanak pelarian dan pencari suaka tercicir dari sekolah, malah tidak mampu mendapatkan rawatan bagi masalah kesihatan.

Ini diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19 apabila sesetengah keluarga terpaksa mengutamakan keperluan harian berbanding pendidikan, kerana mata pencarian keluarga terjejas teruk semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ibu bapa tidak mampu menanggung pendidikan dan perbelanjaan lain yang berkaitan. Jadi, sebagai pelarian, mereka tidak mempunyai hak rasmi untuk bekerja.

"Kebanyakan mereka adalah pekerja gaji harian tanpa pendapatan yang stabil dan konsisten dan walaupun yuran pengajian disubsidi, pengangkutan merupakan beban kewangan tambahan yang tidak mampu dimiliki oleh ibu bapa.

"Kemiskinan ibu bapa menyebabkan pelajar berhenti sekolah untuk bekerja dan membantu keluarga," kata Pengarah Kajian Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Ya Shin, ketika membentangkan laporan kajian Left Far Behind: The Impact of COVID-19 on Access to Education and Healthcare for Refugee and Asylum-Seeking Children in Peninsular Malaysia, pada Selasa.

Laporan itu merupakan kerjasama IDEAS dengan kerjasama UNICEF Malaysia, disokong oleh Kesatuan Eropah di Malaysia.

Menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), hanya 44 peratus kanak-kanak pelarian di Malaysia mendaftar untuk pendidikan rendah, dan 16 peratus remaja pelarian mendaftar untuk pendidikan menengah.

Faktor lain termasuk halangan geografi kekurangan persekitaran yang membolehkan seperti kekurangan perlindungan undang-undang dan peningkatan xenofobia terhadap komuniti pelarian.

Dalam pada itu, pelarian dan pencari suaka di Malaysia juga menghadapi cabaran dalam mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Pengarah Unit Ekonomi dan Perniagaan IDEAS, Dr Juita Mohamad berkata, sebelum bermulanya pandemik COVID-19, keperluan sosial dan penjagaan kesihatan yang kompleks, serta kekurangan rangka kerja undang-undang mengenai isu suaka telah menimbulkan banyak halangan untuk golongan ini mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan.

"Laporan itu menekankan beberapa halangan terhadap akses kepada penjagaan kesihatan. Pertama adalah berkaitan kos. Didapati bahawa semua halangan sedia ada untuk mengakses bertambah buruk semasa pandemik. 

"Kos untuk penjagaan, seperti pengangkutan, ujian pengesanan dan rawatan, rawatan susulan dan juga lawatan. Akses kepada penjagaan antenatal, penjagaan sekunder dan vaksinasi kanak-kanak juga agak terhad kerana kos yang tinggi dan dasar yang diperkenalkan pada 2016 oleh kerajaan yang menyatakan bahawa bayaran akan dinaikkan untuk pesakit warga asing meningkat," jelasnya.

Faktor lain termasuk halangan bahasa, persekitaran seperti takut ditangkap dan ditahan kerana tiada dokumentasi dan kekurangan sokongan kerajaan dalam isu perlindungan kanak-kanak, terutamanya kemudahan penjagaan kesihatan.