KUALA LUMPUR:Kerajaan akan memperkemaskan sistem e-Kasih bagi memantau data kemiskinan dalam kalangan rakyat dengan peruntukan sebanyak RM6.8 juta pada tahun depan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan juga menyedari bahawa sistem lama yang digunakan ketika ini tidak begitu berkesan.

"Saya sedar bahawa sistem lama ini tidak berkesan sebab itu langkah memperkemaskan dengan penggunaan teknologi baharu supaya data-data itu mestilah lebih tepat dan usaha dibuat untuk menentukan supaya kaedah baharu akan digunakan atas mana e-Kasih juga tetapi tidak seperti e-Kasih yang lama.

"Saya percaya apabila kita melaksanakan ini segala maklumat terperinci di seluruh kawasan di negara kita baik di bandar atau luar bandar dapat kita kumpulkan.

"Dengan ada Jawatankuasa Kabinet yang saya akan pimpin, kita akan pastikan kumpulan-kumpulan sara itu dapat kita bantu," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.