KUALA LUMPUR: Meskipun Malaysia telah mencapai kemajuan ketara, namun virus COVID-19 tetap kekal sebagai satu kebimbangan kesihatan.

Virus ini akan terus merebak dalam komuniti dan mampu menyebabkan kemasukan hospital dan, paling malang, kematian, terutamanya di kalangan Kumpulan yang berisiko tinggi.

Ketua Kluster Negara untuk Pfizer Malaysia, Brunei & Pakistan, Luksanawan Thangpaibool yang mewakili pihak Pfizer Malaysia memaklumkan kempen MyPELINDUNG adalah bukti luar biasa kuasa kerjasama yang menyatukan pelbagai sektor dengan matlamat bersama, meningkatkan celik kesihatan di kalangan rakyat Malaysia.

“Bersama-sama kita bukan sekadar memulakan kempen, detik ini juga menandakan babak baharu dalam perjuangan kolektif kami menentang COVID-19.

“Ia merangkumi misi bersama kami untuk memajukan negara yang lebih bermaklumat dan lebih sihat,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran MyPELINDUNG yang berlangsung di Mahsa Avenue Kuala Lumpur pada Khamis.

Tambah beliau, pihak Pfizer sentiasa mengiktiraf kuasa transformatif perkongsian strategik sekaligus dapat memanfaatkan sumber kolektif dan kepakaran untuk memacu perubahan yang berkesan pada skala global.

“Izinkan saya mengulangi visi kita bersama untuk melindungi warga Malaysia di mana semua orang perlu berganding bahu dalam usaha memerangi COVID-19. Bersama-sama, di bawah visi MyPELINDUNG, kita akan memastikan setiap langkah yang kita ambil membawa kita ke arah negara yang lebih sihat dan selamat. Bersama kita Lindungi Malaysia, Sihat Bersama,” akhirinya.

Kempen MyPELINDUNG turut dijayakan oleh Persatuan Kawalan Infeksi dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dalam usaha mendidik, memperkasa dan melindungi rakyat Malaysia sekaligus menekankan peranan penting vaksinasi dan rawatan khusus COVID-19 segera.

Mencemar duli menjayakan majlis pelancaran tersebut adalah Pengerusi Nasional PBSM, Dato’ Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Iman Safinaz binti Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah; diiringi Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli; pelakon pemenang Oscar, Tan Sri Michelle Yeoh; Presiden MyICID, Dr Shaharudeen Kamaludeen; Presiden NCSM, Dato Dr Saunthari Somasundaram; dan Pengerusi Immunise4Life, Prof. Datuk Dr Zulkifli.

Kempen MyPELINDUNG: Penegasan berterusan kepentingan vaksinasi