Kerja-kerja membaik pulih kemudahan asas termasuk menukar dan membaiki lif di pangsapuri kos rendah Taman Desa Green di sini akan disegerakan.

Penyelaras Parlimen Jelutong Ng Fook On berkata projek itu akan dibiayai dengan peruntukan RM600,000 yang diumum Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika melawat kawasan berkenaan pada Februari lepas.

"Antara kerja membaik pulih yang dikenal pasti ialah menukar dua buah lif yang baharu dan membaiki empat lagi lif sedia ada dan saya dimaklumkan semua itu akan dibuat secepat mungkin," katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Baru-baru ini Muhyiddin mengumumkan peruntukan berjumlah RM1.03 juta daripada kerajaan pusat untuk keperluan penduduk di kawasan Parlimen Jelutong, antaranya bagi membaik pulih rumah uzur dan bantuan kepada penjaja.

Sebanyak RM600,000 diperuntukkan untuk membaik pulih kemudahan di lapan blok pangsapuri kos rendah di Taman Desa Green, RM200,000 untuk sembilan pertubuhan agama, RM200,000 untuk membaiki 100 rumah uzur dan RM30,000 diagih kepada persatuan peniaga dan penjaja pasar di kawasan Batu Lanchang, Pasar Jelutong dan Pasar Jalan Perak.

Ng berkata peruntukan itu menunjukkan kerajaan pusat yang sebelum ini diteraju Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan atau menganaktirikan penduduk di negeri yang ditadbir pembangkang.

Beliau juga berkata BN yakin mampu merampas semula kerusi Parlimen Jelutong yang kini disandang DAP pada pilihan raya umum ke-13 ini, berdasarkan sokongan penduduk setempat yang jauh lebih baik berbanding pilihan raya umum lepas.

"Penduduk di Jelutong terutama orang Cina juga dilihat sudah mula memberi sokongan kepada BN dan perkara itu boleh dilihat dengan kehadiran mereka di program-program anjuran kita yang meningkat antara 30 dan 40 peratus," katanya.