KUALA LUMPUR: Kemunculan kerjaya baharu yang terbentuk daripada minat seperti pempengaruh dan menawarkan pendapatan lumayan dilihat menjadi antara punca golongan Bumiputera beralih daripada menyertai sesetengah bidang profesional.

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Izwan Mahmud berkata meskipun penghijrahan kerjaya itu belum menunjukkan perkembangan ketara namun ketidakseimbangan antara Bumiputera dan bukan Bumiputera dalam bidang profesional perlu dikurangkan.

"Ketidakseimbangan kerjaya antara Bumiputera dan bukan Bumiputera akan menyumbang kepada isu ketidakseimbangan ekonomi.

"Sebab itu dalam ekonomi dan kerjaya ini, kita kena pastikan jurang antara kaum tidak boleh terlampau besar kerana bila satu-satu kerjaya dimonopoli oleh satu-satu kaum, di sini akan timbul pula isu perpaduan," katanya kepada Bernama.

Statistik Bumiputera 2023 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia minggu lepas merekodkan penyertaan golongan Bumiputera di bawah 50 peratus bagi kerjaya sebagai arkitek (41.2), peguam (38.2) dan akauntan (31.8).

Bagaimanapun, Bumiputera masih menyumbang sebanyak 92.7 peratus menerusi penyertaan dalam bidang profesional dan 83.8 peratus daripada jumlah penolong pegawai perubatan serta jururawat pada 2022.

Justeru, Mohd Izwan berkata dalam usaha melahirkan graduan kalis masa depan serta memastikan Bumiputera mengisi kerjaya profesional, minat perlu dipupuk sejak di bangku sekolah dan pengubahsuaian kurikulum di peringkat universiti juga harus dilakukan.

"Penempatan dengan pihak industri juga perlu dilakukan lebih awal dalam memupuk minat pelajar sehingga mereka menamatkan pengajian seperti yang dilakukan beberapa negara luar dengan menempatkan pelajar dengan pihak industri sejak awal pengajian lagi," katanya.

Pensyarah Pendidikan Pengembangan (Pembangunan Belia) Fakulti Pengajian Pendidikan Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Mohd Mursyid Arshad pula berkata ramai graduan tidak bekerja dalam bidang yang sesuai dengan kelayakan akademik mereka disebabkan peluang pekerjaan agak terbatas.

"Keadaan ini memaksa mereka untuk bertahan tidak kiralah bekerja dalam sektor apa sekalipun, janji dapat menyara hidup," katanya.

Beliau berkata peratusan guna tenaga tidak penuh siswazah menunjukkan trend peningkatan sejak beberapa tahun lepas yang menyaksikan 2020 merekodkan 31.2 peratus diikuti 33.8 peratus pada 2021 dan 34.4 peratus bagi 2022.

Mohd Mursyid berkata situasi ini, sekiranya tidak diatasi, boleh menyebabkan perpindahan tenaga kerja muda ke luar negara kerana tawaran gaji yang lebih kompetetif dan sesuai dengan kelayakan mereka sekali gus menambah parah situasi brain drain atau larian cerdik pandai di Malaysia.

-- BERNAMA