Dua Ahli Parlimen negeri Johor meminta kerajaan Malaysia dan Singapura mengkaji serta berunding semula kadar tol di pintu masuk kedua-dua buah negara.

Ini kerana, mereka bimbang ia akan memberi kesan kepada segala perancangan yang dibuat terutama yang melibatkan ekonomi seperti koridor Iskandar Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen BN-Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed, kenaikan harga tol di pintu masuk Singapura boleh membebankan warga Malaysia yang berulang alik ke negara untuk bekerja.

Selain itu, katanya dalam jangka masa panjang ia turut boleh menjejaskan perniagaan di kawasan itu.

"Dalam jangka masa panjang juga Malaysia dan Singapura perlu duduk berbincang serta mengkaji semula kenaikan ini, jika mahu bisnes di wilayah Iskandar Malaysia menjadi maju," katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Kata beliau, kemajuan wilayah itu bergantung kepada kemudahan pengangkutan dan perhubungan di antara kedua buah negara tersebut, justeru laluan pengangkutan tidak boleh terlalu terhad.

"Kereta Malaysia hendak masuk Singapura jangan mahal, jika mahal, Iskandar tidak akan berjaya," kata beliau lagi.

Nur Jazlan mengulas tentang pengumuman hasrat Singapura untuk memadankan kadar tol baharu mereka bulan depan susulan dari semakan kadar tol oleh Malaysia pada 1 Ogos, 2014.

Menurut kenyataan Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), kadar baru itu menyaksikan kenaikan dari SGD$1.20 (RM3.00) ke SGD$3.80 (RM9.70) untuk kereta, sementara bagi van ianya naik dari SGD$1.90 (RM4.80) ke SGD$5.80 (RM14.70).

Teksi dan bas pula menyaksikan kenaikan dari SGD$0.60 (RM1.50) dan SGD$1 (RM2.50) ke SGD$1.90 (RM4.80) dan SGD$3.10 (RM7.80).

Menurut LTA, telah menjadi amalan kerajaan Singapura untuk menetapkan kadar tol Singapura supaya disesuaikan dengan kadar yang ditetapkan oleh Malaysia di Tambak dan Link Kedua.

Nur Jazlan bagaimanapun tidak menyalahkan Singapura atas kenaikan harga tol itu kerana ia dilakukan sebagai 'respon' terhadap kenaikan tol oleh Malaysia.

Sebelum ini, kerajaan Singapura telah menaikkkan bayaran Permit Kenderaan Barangan (GVP) daripada S$10 (RM25.72) kepada S$40 (RM102.88) sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos.

Begitu juga kadar bayaran VEP bagi kenderaan berdaftar di luar negara yang mahu memasuki Singpura akan dinaikkan daripada S$20 (RM51.44) kepada S$35 (RM90) sehari berkuat kuasa mulai tarikh sama.

Turut senada dengan Nur Jazlan ialah Ahli Parlimen DAP-Kluang, Liew Chin Tong yang merasakan bahawa kenaikan tol itu seolah seperti membina 'dinding' di Causeway yang memisahkan kedua buah negara.

"Dengan kedua-dua pihak menaikkan kadar tol sehingga 470 peratus, hampir mustahil untuk rakyat Malaysia yang biasa untuk berulang-alik setiap hari melalui Causeway," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut beliau, kenaikan ini akan memberi kesan negatif kepada Iskandar Malaysia, serta ekonomi di selatan Johor terutama sekali peniaga-peniaga kecil, pelancongan, logistik.

Selain itu, Liew berkata ia turut akan memberi impak kepada ekonomi negara.

Beliau juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membuktikan kepimpinannya serta memahami nasib rakyat Malaysia dengan menangani krisis ini.

Iskandar Malaysia atau Pembangunan Wilayah Ekonomi Selatan Johor merupakan koridor pembangunan yang dilaksanakan di bahagian selatan Johor.

Berdasarkan pelan pembangunannya, dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kawasan pertumbuhan ekonomi itu dijangka akan membangun pesat menerusi hasil dari pelbagai sektor.