ALOR SETAR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan memberi tumpuan kepada beberapa 'hot spot' kejadian kebakaran terbuka bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka berlaku September ini di seluruh negara.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, selepas berakhirnya monsun Timur Laut, lazimnya musim kemarau akan berlaku dan pada tahun ini dijangka panas yang agak panjang dan ekstrem.

Menurutnya, negeri yang dikenal pasti dan diberi tumpuan adalah Selangor, Johor, Pahang, Pulau Pinang, Kedah, Sabah dan Sarawak.

"Di selangor di kawasan Banting, Johan Setia, Sepang dan di utara adalahPulau Pinang iaitu di tanah besar dan juga kawasan bukit di sebelah pulau...

"Di Kedah kita memastikan bahawa kawasan-kawasan sawah untuk penanaman padi dan juga pembakaran jerami kita minta ia supaya dikawal... jadi hot spot ini apabila kita kenal pasti kita akan meletakkan segala aset kita di pangkalan hadapan sekali," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2021 serta Penyampaian Sijil 30 Tahun Perkhidmatan JBPM Negeri Kedah dan Perlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM Kedah Sayani Saidon serta Pengarah JBPM Perlis Ruhisha Haris di Ibu Pejabat JBPM Negeri Kedah.

Mohammad Hamdan juga berharap komuniti setempat dapat memainkan peranan dalam memastikan aktiviti pembakaran terbuka dihentikan selain membuat laporan kepada agensi berkaitan sekiranya ternampak ia dilakukan di mana-mana kawasan.

"Pihak pengurusan tempat pelupusan sampah juga diminta memantau kawasan terbabit bagi mengelakkan aktiviti pembakaran kerana bimbang ia akan menyebabkan berlaku jerebu dan asap yang tidak sihat serta menjadi punca kepada masalah kesihatan masyarakat," katanya.

Beliau berkata JBPM juga akan menubuhkan pasukan khas kepala air selain Special Water Rescue Team (SWART) yang sedia ada.

"Sekarang kita ada satu pasukan SWART di Pantai Chenang, Langkawi... anggotanya adalah orang tempatan yang mana telah ditauliahkan oleh JBPM dan mereka turut diberikan elaun," katanya.