KANGAR: Dalam rangka pemulihan industri pelancongan, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia sedang mengenal pasti beberapa produk baharu di negeri ini.

Ia sebagai langkah awal mempromosi produk pelancongan domestik sebelum kerajaan membenarkan semula pergerakan rentas negeri.

Jika sebelum ini, Perlis hanya dikenali dengan mangga Harumanis serta sebagai tempat transit kepada pelancong yang menaiki feri ke Pulau Langkawi, dengan pengenalan produk pelancongan baharu, ia mampu memulihkan industri pelancongan yang terjejas teruk sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

Sehubungan itu, Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara, Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Dato Dr Amar Abdul Ghapar berkata, beberapa lokasi yang sedang dibangunkan kerajaan negeri amat berpontensi untuk dijadikan daya tarikan baharu.

"Kita tidak mahu negeri Perlis ini hanya dikenali dengan Harumanisnya. Sebab, Harumanis bermusim, dan sebagainya.

"Di samping mengenali Harumanis, kita juga mengenengahkan produk-produk baharu yang terdapat di Perlis ini.

"Sebagai contoh, kita dalam usaha untuk mempromosikan sebuah kampung yang dikenali sekarang ini, yang cantik dari segi keindahan yang dibuat, dan juga aktiviti-aktiviti pelancongan yang akan diadakan di kampung tersebut," katanya.

Amar bercakap kepada media selepas Majlis Sesi Ramah Mesra Industri Pelancongan dan Rakan Media Negeri Perlis di Kuala Perlis malam tadi.

Kampung yang dimaksudkan adalah Kampung Seberang Ramai, Kuala Perlis yang telah ditukar wajah dari sebuah kampung nelayan yang tidak terurus kepada produk pelancongan.

Kerajaan negeri menyediakan peruntukan untuk mengecat dengan berwarna warni semua rumah di kampung itu, serta diperindahkan semula.

Selain Kampung Seberang Ramai, terdapat beberapa lagi tempat tumpuan di Perlis seperti Tasoh Lake Resort, Anjung Tinjau Wang Kelian, Sanctuary Ikan Air Tawar dan Super Fruits Valley di Lembah Chuping yang juga berpotensi dijadikan produk pelancong baharu.

Super Fruits Valley merupakan pengeluar buah tin terbesar di Malaysia, di samping beberapa jenis buah bernutrisi tinggi atau 'super fruits'.