Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop sedia berhadapan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di mahkamah berhubung kenyataan fitnah dalam artikel membabitkan dana 1MDB.

Pada 26 Februari, Najib mengemukakan surat tuntutan kepada pihak HarakahDaily yang antara lain menuntut HarakahDaily berhenti daripada membuat kenyataan lanjut berunsur fitnah berhubung isu itu terhadap Najib, 48 jam dari tarikh notis.

Rosli diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang berkata tempoh itu telah tamat dan pihak Harakah enggan menuruti tuntutan itu.

"Jika kes ini dibawa je mahkamah, kami sudah bersedia.

"Kami hormati hak beliau untuk menyaman. Tidak ada masalah kerana ini perkara biasa," jelas Mohamed Hanipa dalam satu sidang media di Pusat Media PAS, Kuala Lumpur tengah hari tadi.

Namun, Mohamed Hanipa mahu Najib menjelaskan mengapa beliau (Najib) tidak juga menyaman media antarabangsa yang sebelum ini pernah menulis tentang beliau.

"Kalau betul beliau ingin menjaga nama beliau, kenapa tidak saman The New York Times dan The Sunday Times?"

"Dan kalau nak nampak konsisten dan serius, anak tiri beliau iaitu Riza Aziz sepatutnya saman juga," kata Mohamed Hanipa.

Beliau kini sedang menunggu tindakan susulan Najib berikutan notis 48 jam yang diberi telah tamat.

Surat tuntutan itu, yang turut diserahkan kepada Ketua Pengarang HarakahDaily Taufek Yahya, menyatakan bahawa sekiranya firma guaman itu tidak menerima sebarang maklum balas daripada pihak HarakahDaily berhubung surat tuntutan itu, ia bermaksud pihak itu tidak menafikan penegasan Najib itu dan HarakahDaily juga berniat untuk meneruskan dengan penerbitan kenyataan berunsur fitnah itu.

Surat tuntutan itu: "Dalam keadaan tersebut, kami mempunyai arahan tegas daripada anak guam kami untuk meneruskan prosiding mahkamah terhadap pihak tuan tanpa sebarang rujukan pihak tuan, termasuklah permohonan menfailkan injunksi bagi menghalang sebarang penerbitan lanjut berhubung isu tersebut."