SAYA mengambil maklum tentang respons segelintir warganet ke atas pandangan penulis berkenaan tren pekerjaan graduan dan belia di dalam diskusi Belanjawan 2020 yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen swasta pada 11 Oktober 2019.

Segelintir warganet berkongsi video pendek diskusi berkenaan daripada sumber yang tidak diketahui tanpa mengetahui niat pihak yang berkenaan. Perbuatan menyebarkan maklumat yang tidak lengkap dan ditafsirkan tidak mengikut konteks sebenar adalah perbuatan yang tidak bertanggungjawab sama sekali.

Jika diskusi itu ditonton sepenuhnya dan difahami maksud sebenar yang ingin disampaikan, ia memberi mesej yang amat jelas kepada pihak kerajaan untuk mengangkat martabat dan ‘maruah’ pekerja di Malaysia.

Fakta-fakta berikut dapat memberi lebih kefahaman mengapa nasib dan ‘maruah’ pekerja di Malaysia perlu diambil pandang serius oleh pihak kerajaan.
Berdasarkan fakta-fakta di atas, persoalannya yang ingin saya lontarkan adalah adakah pihak kerajaan telah lakukan sesuatu yang betul kepada golongan belia dan graduan yang menganggur.

Perlu difahami daripada sudut ekonomi bahawa dengan membiarkan mereka menjadi pekerja penghantaran sepenuh masa atau pekerjaan yang tidak padan dengan kemahiran mereka adalah bukan langkah yang progresif kerana:
  1. negara tidak dapat menggunakan bakat dan kemahiran mereka kepada pembangunan negara;
  2. satu kerugian kepada ekonomi kerana negara telah memperuntukan perbelanjaan dan subsidi untuk mengeluarkan bakat dan kemahiran;
  3. wujud kecenderungan bakat dan kebajikan mereka dieksploitasi oleh pasaran dan syarikat pengendali;
  4. pekerjaan sebegini lebih bersifat sementara dan tiada jaminan kelangsungan dalam jangka masa panjang terutamanya dalam menuju Revolusi Industri 4.0.
Apa yang paling penting di sini, kerajaan menyediakan ruang dan peluang kepada golongan yang berkaitan untuk memanfaatkan bakat dan kemahiran yang mereka miliki. Mereka memerlukan pekerjaan yang lebih baik untuk menjamin kelangsungan jangka masa panjang. Langkah ini bersesuaian dengan matlamat negara untuk mencipta aktiviti ekonomi bernilai tinggi.

Sikap mengecam membuta tuli kian menjadi budaya kepada kebanyakan rakyat Malaysia. Saya tidak bersendirian kerana ada dua kes lain yang mesejnya turut gagal difahami dengan jelas oleh warganet.

Christy Ng dan Tun Dr Mahathir turut dikecam

Pertama, pengusaha kasut, Christy Ng dikecam kerana kurang bersetuju dengan cadangan kerajaan melanjutkan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari pada pembentangan Belanjawan 2020 baru-baru ini. Apabila pemahaman berkenaan dengan ilmu ekonomi dan perniagaan PKS terhad, maka beliau dikecam oleh warganet.

BACA: "Saya tidak bantah, cuma bimbang" - Christy Ng ulas pengumuman cuti bersalin 90 hari

Jika kerajaan berusaha meningkatkan penyertaan tenaga buruh wanita, perlanjutan tempoh cuti bersalin kepada 90 hari bukanlah langkah yang progresif kerana ia memberi implikasi kepada produktiviti dan operasi PKS. Cadangan untuk memperkasa sistem sokongan sosial seperti penyediaan taska di tempat kerja dan pasaran buruh yang lebih fleksibel seperti tempoh masa kerja yang tidak tetap dan bekerja dari rumah, adalah lebih baik kepada ekonomi secara keseluruhannya.

Kedua, Tun Dr Mahathir juga turut dikecam kerana mempertahankan kenyataan ‘Melayu malas’ yang diungkap dalam Kongres Maruah Melayu (KMM) pada 6 Oktober 2019 yang lepas. Kenyataan Tun Dr Mahathir gagal difahami dalam konteks yang lebih luas terutamanya aspek ekonomi. Warganet lebih berminat menilai perkataan ‘Melayu malas’ daripada menilai tafsiran sebenar kepada perkataan tersebut.



* Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari adalah pemegang ijazah PhD daripada University of Groningen, the Netherlands dan pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM, juga Ketua Laboratori Kaedah Kuantitatif Analisis Dasar, Institut Kajian Dasar Pertanian dan Makanan, UPM.

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.