Punca sebenar punca kematian pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol di sini masih belum dapat dipastikan walaupun ujian awal mendapati positif jangkitan kencing tikus atau leptospirosis.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Maher keputusan ujian keseluruhan bagi menentukan punca kematian pelajar berkenaan hanya akan diperolehi seminggu lagi.

Katanya, setakat ini ianya tidak boleh ditentukan punca kematian pelajar berkenaan disebabkan jangkitan kencing tikus sehingga semua keputusan ujian diperolehi.

Menurut Dr Ahmad Razin, rapid test pelajar tersebut didapati aktif namun ujian lain pengesahan yang lain belum diterima lagi.

BACA: Pelajar meninggal dunia disyaki akibat kencing tikus

"Oleh sebab itu saya tak boleh memberi pengesahan lagi, dan salah satu perkara yang perlu dibuat panggil pakar buat satu pembentangan dalam kes ini dan baru boleh kita buat keputusan tepat betul kencing tikus atau tidak," kata Dr Ahmad Razin.

Katanya, pihaknya juga sudah mendapatkan sampel air dari kawasan jeram berkenaan serta persekitaran rumahnya bagi menentukan punca sebenar wabak berkenaan.

"Tempat berisiko ini bukan sahaja di tempat peranginan di persekitaran rumah pesakit juga ada risiko sendiri kita kena buat siasatan juga tidak semestinya punca jangkitan itu dari Jeram Mengaji di Selising, Pasir Puteh dan kita tidak tutup pusat itu," kata Ahmad Razin.
Semalam, pelajar berkenaan Muhammad Fikri Farizaq Mukhtar, 15, meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Tengku Anis di Pasir Puteh.

Bapa mangsa, Mukhtar Awang, 58 mendakwa anaknya itu disahkan positif dijangkiti kencing tikus oleh pihak hospital. Mangsa dikatakan demam selepas mandi bersama tiga orang rakannya di Jeram Mengaji, Selising pada 27 Ogos.

Bercakap di sidang media di pejabatnya hari ini, Dr Ahmad Razin turut memaklumkan jumlah kes jangkitan kencing tikus di Kelantan sepanjang tempoh Januari hingga September tahun ini mencatatkan 545 kes dengan empat kematian.

Jumlah tersebut menurun berbandng sepanjang tahun lepas yang mencatatkan 1394 kes dengan 12 kematian, katanya.

Punca wabak ini menular adalah kerana persekitaran yang kotor yang mengundang kepada kehadiran tikus.

Tindakan jabatan juga ke arah untuk mengurangkan kawasan berisiko kehadiran tikus di mana Kota Bahru mencatat kes kencing tikus tertinggi di Kelantan.

Menurut Dr Ahmad Razin, masyarakat Kelantan dinasihatkan menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan kehadiran tikus yang membawa wabak berkenaan.

Selain itu beliau juga menasihati orang ramai atau pengunjung yang mempunyai luka terdedah supaya mengambil langkah berhati-hati dengan tidak mandi di kawasan berisiko kerana kuman berkenaan boleh dijangkiti melalui kawasan luka.