Ringkasan AI
- Maklumat awam mengenai kenderaan pacuan empat roda yang dipandu melawan arus di LPT1 membongkar cubaan mengedar dadah jenis syabu bernilai lebih RM14.9 juta.
- Kenderaan Mitsubishi Triton ditemui ditinggalkan di bahu jalan dengan 22 plastik hitam mengandungi 440 bungkusan syabu seberat 468.3 kilogram.
- Polis Pahang sedang giat mengesan pemilik kenderaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, kenderaan jenis Mitsubishi Triton itu ditemui ditinggalkan di bahu jalan di Kilometer 211 menghala ke Kuala Lumpur dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 2 petang.
Menurutnya, lokasi penemuan kenderaan tersebut kira-kira 18 kilometer dari Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gambang di mana satu operasi bersepadu (Ops Utama) Zon Timur diadakan Pasukan Peronda Lebuhraya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman pada hari berkenaan.
"Susulan maklumat diterima, pemeriksaan awal dilakukan anggota pasukan peronda dan mendapati kenderaan tersebut telah ditinggalkan tanpa pemandu atau penumpang dalam kenderaan tersebut.
"Pemeriksaan mendapati semua pintu berkunci namun but belakang yang bertutup tidak berkunci.
"Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu, polis menemui 22 plastik hitam di mengandungi 440 bungkusan plastik bertulisan ‘Chinese Pin Wei’ berisi ketulan kristal dipercayai dadah jenis syabu," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Khamis.
Yahaya berkata, anggaran berat keseluruhan dadah yang dirampas 468.3 kilogram sekali gus rampasan dadah terbesar di negeri ini dalam tempoh tiga tahun.
"Bekalan dadah itu cukup untuk dibekalkan kepada 936,600 penagih sehari berdasarkan anggaran penggunaan harian 0.5 gram bagi setiap individu," katanya.
Yahaya berkata, Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang turut menjalankan ujian ‘swabbing’ bagi siasatan lanjut, manakala usaha mengesan pemilik kenderaan sedang giat dijalankan.
"Berdasarkan semakan, kenderaan tersebut telah dijual pemilik asal kepada pihak lain namun tidak menukar nama.
"Polis Pahang menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat, saksi kejadian atau rakaman kamera papan pemuka yang berkaitan agar menyalurkannya kepada pegawai penyiasat di talian 09-5652222 atau menghubungi hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik di 012-2087222," katanya.
Jelas Yahaya lagi, sebelum itu, operasi bersepadu (Ops Utama) Zon Timur telah di adakan di R&R Gambang, arah barat.
"Bagi tujuan keselamatan, trafik dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur dilencong masuk ke RnR untuk tujuan pemeriksaan.
"Semasa pemeriksaan antara jam 10 pagi hingga 1 tengah hari itu, pasukan peronda menerima maklumat awam berhubung kenderaan melawan arus tersebut," katanya.
Beliau berkata, pemandu kenderaan terbabit dipercayai telah mendapat maklumat berhubung operasi itu dan bertindak memandu melawan arus sebelum ditinggalkan bagi mengelak pemeriksaan. -Sinar Harian
