Skip to main content

Malaysia

KENDIRI perkasa rakyat dengan ilmu pertanian domestik – Mohamad Sabu

SERDANG, 28 Ogos -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Kempen Kebun Di Rumah Sendiri (KENDIRI) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini.  Turut sama Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin (kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Nor Sam Alwi (dua, kanan).  --fotoBERNAMA (2026) HAK
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menyempurnakan gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Kempen Kebun Di Rumah Sendiri (KENDIRI) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) hari ini. - Foto BERNAMA
Advertisement

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhasrat memperkasakan rakyat dengan ilmu pertanian domestik yang praktikal menerusi Kempen Kebun di Rumah Sendiri (KENDIRI).

Inisiatif KENDIRI diwujudkan sebagai intervensi strategik nasional untuk menggalakkan setiap isi rumah  menghasilkan sebahagian daripada bahan makanan sendiri di kediaman masing-masing secara sukarela.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata kebun di rumah bukan untuk menggantikan keseluruhan sistem bekalan makanan negara, tetapi ia bertindak sebagai sumber makanan tambahan yang berdaya tahan bagi keluarga.

"Apabila setiap rumah mampu menanam dan menuai sendiri sebahagian keperluan sayur-sayuran dan herba harian, kita bukan sahaja menjimatkan wang perbelanjaan, malah membina ketahanan keluarga mendepani sebarang krisis atau perubahan iklim," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran KENDIRI sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di sini hari ini.

Mohamad berkata falsafah utama KENDIRI berteraskan konsep yang amat inklusif, praktikal dan fleksibel dengan menekankan prinsip “Gunakan Ruang Yang Kita Ada”.

Beliau berkata sasaran akhir KPKM menerusi KENDIRI adalah untuk mentransformasikan ruang kediaman rakyat Malaysia menjadi satu ekosistem domestik yang mampu membekalkan hasil tanaman segar, bersih, selamat dan bebas daripada racun perosak berlebihan pada bila-bila masa diperlukan.

Selain itu, katanya komitmen kerajaan terhadap agenda pertanian domestik dan komuniti adalah konsisten dan sejak Program Pertanian Bandar diperkenalkan pada  2014 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) sehingga kini, kerajaan melalui Jabatan Pertanian telah menyalurkan peruntukan keseluruhan mencecah RM114 juta.

Menerusi peruntukan itu, lebih 45,000 kebun komuniti telah menerima faedah serta khidmat nasihat yang secara keseluruhannya memberi manfaat secara langsung kepada 251,510 orang peserta di seluruh negara.

"Memasuki fasa RMK13, kerajaan meneruskan komitmen ini dengan menyediakan siling peruntukan sebanyak RM30 juta khusus bagi memperkukuh projek-projek pertanian komuniti di 1,370 lokasi yang disasarkan memberi manfaat kepada 13,700 ahli komuniti," katanya.

Sementara itu pada sidang media, Mohamad berkata MAHA 2026 menyasarkan kehadiran lebih empat juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjuran, bermula hari ini hingga 6 Sept.

"Kita jangka kehadiran lebih daripada empat juta tapi kalau saya tengok kehadiran hari ini, saya rasa akan tinggi kehadirannya. Setakat ini (3.45 petang), dah 43,000 orang yang hadir ke MAHA 2026," katanya.

Dalam program berasingan, Mohamad kemudiannya menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Maybank Islamic Bhd (MIB) bagi memperkukuh pembangunan usahawan agromakanan menerusi pembiayaan, pembangunan kapasiti, pensijilan halal dan peluasan akses pasaran.

FAMA diwakili ketua pengarahnya Faisal Irwardi Ismail manakala MIB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbankan Islam Mohamad Yasin Abdullah.

FAMA memaklumkan pihaknya terus memperkukuh pembangunan dan daya saing usahawan agromakanan menerusi pembukaan Segmen Agribusiness sempena MAHA 2026.

Segmen Agribusiness menghimpunkan 141 reruai melibatkan 131 usahawan tempatan, merangkumi makanan dan minuman, produk sedia dimakan, snek, makanan tradisional dan produk hasil laut.

Segmen itu menyasarkan 200,000 pengunjung dengan nilai jualan RM4 juta sepanjang MAHA 2026.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement