'Kenyataan AGC mengenai ART tiada unsur politik, bukan kita suruh pertahan kerajaan' - PM

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan itu adalah berdasarkan pandangan dan kebijaksanaan AGC tentang ART.
KUALA LUMPUR: Kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Isnin mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat tidak berunsur politik seperti dakwaan pihak tertentu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kenyataan itu adalah berdasarkan pandangan dan kebijaksanaan AGC tentang ART.
Menurut beliau, peranan AGC berdasarkan sudut undang-undang dan perjanjian antara negara adalah sangat penting.
“Kenyataan Peguam Negara itu sebab mereka teliti, janganlah kata politik. AGC kata ini tak boleh, ini boleh... maka itu dia pertahankanlah keputusannya. Apa salahnya? Apa yang politiknya?
“Kalau kita minta AGC buat kenyataan baharu untuk pertahan kerajaan semata-mata, itu namanya politiklah. Tapi kenyataan itu setelah mereka teliti, dan saya bukan nak pertahankan Peguam Negara... tapi ada kita ubah suai (kandungan perjanjian) selepas dapat input dari AGC... itu cara kita kerja,” katanya.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang ingin tahu sama ada kenyataan AGC itu berbentuk politik dan menggesa jabatan berkenaan memberikan pandangan undang-undang yang bebas.
Tegas Anwar, meskipun beberapa dasar dalam pelbagai sektor dicadangkan oleh pihak berkaitan seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) bagi rundingan dengan AS, faktor undang-undang tetap dipertimbang oleh AGC dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
AGC dalam satu kenyataan semalam, memaklumkan,Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan ART dengan AS pada bila-bila masa melalui pemberitahuan bertulis.
Menurut AGC, penamatan perjanjian itu boleh dilakukan tanpa memerlukan persetujuan AS, berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 7.5 ART, yang bertujuan mempertahankan dan memelihara kedaulatan Malaysia serta melindungi kepentingan negara pada setiap masa.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


