'Kenyataan di luar konteks, video penuh lebih 20 minit' - Ahmad Faizal

Aida Aziz
November 9, 2019 06:45 MYT
Baru-baru ini, dalam sebuah rakaman video yang tular, Ahmad Faizal (gambar) dilihat memberitahu penduduk mengenai usahanya menjaga kepentingan Melayu dan Islam. - Gambar fail
Pengerusi Bersatu Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan video tular perbualannya bersama pengundi di Tanjung Piai Johor, mengenai sebuah parti komponen Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini, telah dipetik di luar konteks sebenar.
Beliau yang juga Menteri Besar Perak berkata, video yang tular itu tidak menggambarkan keseluruhan perbualan selama 20 minit kerana hanya petikan enam minit sahaja yang ditularkan.
Menurutnya, dalam ucapan awal itu, beliau memberikan gambaran mengenai apa yang telah disampaikan oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Tanjung Piai, Karmaine Sardini.
"Apa yang saya cuba lakukan adalah mahu menarik perhatian mereka (penduduk) terhadap apa yang hendak saya katakan selepas itu iaitu untuk menyokong PH dan calon kami.
"Tetapi entah kenapa hanya beberapa komen saya mengenai rakan parti komponen dalam Kabinet sahaja yang telah dinaikkan," katanya kepada pemberita pada majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di sini pada Sabtu.
BACA: Kenyataan MB Perak mengenai DAP pandangan peribadi - Muhyiddin
BACA: Armada Perak selar tindakan muat naik video kenyataan Ahmad Faizal
Baru-baru ini, dalam sebuah rakaman video yang tular, Ahmad Faizal dilihat memberitahu penduduk mengenai usahanya menjaga kepentingan Melayu dan Islam.
Dalam rakaman itu dia dilihat bersama Karmaine sedang duduk bersantai dengan penduduk sambil menceritakan situasi yang sedang berlaku di negeri pimpinannya itu.
#Ahmad Faizal Azumu #Bersatu #DAP #Karmaine Sardini #Menteri Besar #Menteri Besar Perak #Pakatan Harapan #PH #PRK Tanjung Piai #Tanjung Piai Memilih