KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi memfailkan notis tuntutan terhadap Datuk Awang Solahuddin Hashim, menuntut Ahli Parlimen Pendang itu supaya membuat permohonan maaf tanpa syarat, berhubung kenyataan berbaur fitnah dikeluarkannya terhadap Perdana Menteri itu di lobi Parlimen, pada 21 Feb lepas.

Peguam Datuk SN Nair berkata, jika pihaknya tidak menerima apa-apa maklum balas memuaskan daripada Awang Solahuddin dalam tempoh tiga hari dari tarikh penerimaan notis, tindakan perundangan akan diteruskan terhadap Awang Solahuddin.

Berdasarkan notis tuntutan itu, pada 21 Feb, Awang Solahuddin mengungkapkan atau membuat kenyataan kepada pemberita di lobi di luar Dewan Rakyat mengenai Perdana Menteri dan ia diterbitkan semula dalam aplikasi Tiktok di bawah akaun '@asriasri64chanel' pada 22 Feb, yang mendapat lebih 20,600 tontonan, 322 komen, 159 tanda suka, 19 tanda kegemaran dan 47 perkongsian, pada tarikh surat ini dikeluarkan dan masih boleh diakses sehingga kini.

Nair berkata, perkataan memfitnah itu juga dipetik dan diterbitkan menerusi artikel Malaysiakini bertajuk 'MP Pas: Sikap pendendam Anwar lebih teruk daripada Mahathir' pada 21 Feb, jam 2.29 petang.

"Anak guam kami menegaskan bahawa perkataan-perkataan memfitnah dalam video Tiktok itu dan artikel berkenaan adalah tidak benar, serta mempersoalkan kebijaksanaan dan kesahihan kuasa Yang di-Pertuan Agong sepertimana termaktub dalam perlembagaan.

"Anak guam kami dijemput secara rasmi untuk memohon menghadap Yang di-Pertuan Agong dan dilantik serta mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia, dalam satu majlis rasmi selepas baginda secara rasminya membuat kesimpulan bahawa pada hemat baginda, anak guam kami berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti daripada Ahli-Ahli Parlimen," kata peguam itu.

Nair berkata, Awang Solahuddin, dengan sengaja mempersoalkan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Anwar sebagai Perdana Menteri pada 24 Nov 2022, selain mendakwa kata-kata fitnah merupakan penghinaan terhadap institusi Raja-raja Melayu.

Peguam itu berkata, perkataan memfitnah tersebut secara keseluruhannya antara lain membawa maksud bahawa, Presiden Parti Keadilan Rakyat itu bukanlah seorang Perdana Menteri dilantik secara sah, tidak mempunyai majoriti untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan menipu rakyat serta Yang di-Pertuan Agong berhubung bilangan Ahli-Ahli Parlimen menyokongnya.

Nair berkata, pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-10, merupakan perkenan Yang di-Pertuan Agong berdasarkan kepada hemat baginda bahawa Anwar mendapat kepercayaan majoriti Ahli Parlimen dan juga selepas mesyuarat baginda dengan Raja-Raja Melayu dan pelantikan tersebut adalah sah.

Beliau berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen, Awang Solahuddin perlu berhati-hati apabila mengeluarkan kenyataan-kenyataan tidak benar dan memfitnah dengan sewenang-wenangnya, terutamanya apabila kenyataan-kenyataan sedemikian kelihatan bercanggah dan mencabar keputusan Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, Nair berkata, anak guamnya memohon penarikan balik perkataan memfitnah atau video Tiktok memfitnah dan segala kenyataan yang menyinggung perasaan dengan serta-merta, selain permohonan maaf tanpa syarat, aku janji bertulis oleh Awang Solahuddin untuk tidak mengulangi perkataan memfitnah tersebut.

Berdasarkan notis tuntutan itu, Nair memaklumkan anak guamnya akan menuntut ganti rugi atas tindakan Awang Solahuddin.

Nair ketika dihubungi Bernama, mengesahkan telah menghantar notis tuntutan itu kepada Awang Solahuddin melalui kiriman pos dan e-mel.

Pada 22 Feb, Anwar memfailkan notis tuntutan terhadap Awang Solahuddin berhubung kenyataan berbaur fitnah yang dikeluarkan terhadap Perdana Menteri itu di lobi Parlimen.

-- BERNAMA