Skip to main content

Dunia

New Zealand bersiap hadapi Taufan Vaianu, pemindahan diperintah di Pulau Utara

Sumber: MetService NZ
Di kawasan pesisir pantai, taufan itu berpotensi mencetuskan tanah runtuh, limpahan ribut, ombak setinggi sehingga 13 meter serta banjir pantai. - Foto X/MetService NZ

WELLINGTON: Ribuan penduduk New Zealand diarahkan berpindah dari kediaman masing-masing pada Sabtu ketika Pulau Utara bersiap menghadapi Taufan Vaianu, yang dibimbangi boleh menyebabkan banjir pesisir pantai dan tanah runtuh.

Peramal cuaca negara itu memaklumkan Vaianu dijangka melanda pada Ahad dengan hujan lebat serta angin kencang sehingga 130 kilometer sejam, sebelum bergerak ke barat Kepulauan Chatham yang terpencil pada Isnin.

Advertisement

Beberapa wilayah diletakkan di bawah pengisytiharan kecemasan, dengan arahan pemindahan dikeluarkan di beberapa kawasan di daerah Whakatane, yang mempunyai kira-kira 37,150 penduduk dan terletak sekitar 430 kilometer di utara ibu negara, Wellington.

Majlis Daerah Whakatane dalam kenyataan di media sosial menasihatkan penduduk supaya merancang untuk berada di luar rumah sekurang-kurangnya dua hari.

Di kawasan pesisir pantai, taufan itu berpotensi mencetuskan tanah runtuh, limpahan ribut, ombak setinggi sehingga 13 meter serta banjir pantai.

Perdana Menteri Christopher Luxon memberi amaran lebih awal bahawa taufan berkenaan berpotensi membawa kerosakan besar dan menggesa orang ramai di laluan ribut supaya membuat persediaan rapi.

“Pastikan saliran bersih, periksa keadaan jiran dan bersedia menghadapi kemungkinan gangguan bekalan elektrik,” katanya menerusi platform X.

Kehadiran Taufan Vaianu turut membangkitkan kenangan pahit Taufan Gabrielle pada 2023, yang mengorbankan 11 nyawa dan menyebabkan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal dalam bencana alam paling dahsyat di New Zealand pada abad ini.

 

Must Watch Video