KUALA LUMPUR:Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPKK) membantah tindakan University Of Malaya Association of New Youth (UMANY) mempersoal kuasa dan keabsahan titah Yang Di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam urusan politik baru-baru ini.

Presidennya, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata tindakan UMANY itu tidak boleh diterima sama sekali.

“MPPK berpandangan bahawa tindakan tersebut merupakan satu provokasi terhadap intitusi Raja Berpelembagaan di negara kita.

“Tindakan ini adalah satu tindakan yang tidak boleh diterima sama sekali. Dalam kenyataan yang telah dikeluarkan oleh mereka (UMANY), mereka seolah-olah menuduh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mencampuri hal ehwal politik negara.

“Sebaliknya, Tuanku Yang di-Pertuan Agong hanya bertitah supaya parti-parti politik di Malaysia bekerjasama dalam Sidang Parlimen akan datang dan meluluskan Belanjawan 2021 dengan mengutamakan keperluan rakyat serta mengurangkan politiking,” jelasnya dalam satu kenyataan media pada Sabtu.

Malah ujar Muhammad Amir, titah Baginda itu telah diterima semua ahli politik serta kerjasama bagi menyelamatkan rakyat Malaysia daripada gelombang ketiga pandemik COVID-19.

“MPPK mendesak pihak UMANY untuk segera membuat permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Tindakan yang telah dilakukan ini sebenarnya telah mengguris hati rakyat Malaysia yang sentiasa menghormati dan menjunjung institusi Raja Berpelembagaan.

“Sungguh pun, UMANY telah memadam hantaran tersebut, ia tidak dapat mengubah keadaan dan meredakan kemarahan rakyat Malaysia, kerana tindakan ini dilihat seolah-olah tidak menghormati institusi Raja Berpelembagaan,” tegas Presiden MPKK itu.

Justeru katanya, UMANY seharusnya tidak mencalarkan imej mereka sebagai sebuah persatuan yang wujud di salah sebuah univeraiti terkemuka di Malaysia.

Lebih malang, tindakan berkenaan katanya telah sedikit sebanyak mencalarkan imej Universiti Malaya (UM).

MPKK sentiasa menjunjung tinggi kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah dalam memastikan kestabilan politik negara terjaga.