MALAYSIA
Kepelbagaian budaya, etnik kekuatan Malaysia - PM Anwar

Anwar selepas merasmikan Festival Budaya Malaysia 2025 di Taman Tasik Titiwangsa hari ini. Turut sama Tiong dan Dr Zaliha. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kepelbagaian budaya dan etnik di Malaysia, merupakan kekuatan utama negara ini dan bukan sesuatu yang harus ditolak atau dibimbangi.
Berucap merasmikan Festival Budaya Malaysia 2025 "Wow Malaysia" malam ini, Anwar berkata kehebatan negara terletak pada penerimaan dan penghormatan terhadap warisan pelbagai kaum yang membentuk identiti nasional.
"Kehebatan kita adalah kerana kesediaan kita menerima warisan negara kita, pelbagai suku kaum, pelbagai daerah, semuanya ada kekuatan masing-masing dan kesemuanya mempamerkan keindahan, kecantikan, kehebatan luar biasa.
"Budaya ini dikembangkan dengan merangkul budaya suku kaum yang lain, termasuk budaya Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Melanau, Bajau, kesemuanya itu kemudian kita rangkul sebagai budaya kita, anak Malaysia."Inilah yang akan menjayakan, menjamin keamanan dan kelangsungan kita dan kalau kita mula mengasingkan, perlu menolak, itu mulanya bibit-bibit perpecahan dalam kalangan kita," kata beliau pada perasmian festival itu di Taman Tasik Titiwangsa hari ini.
Perdana Menteri berkata beliau perlu menekankan perkara itu, agar rakyat tidak terpengaruh dan menjadi kelompok kecil yang tidak bersedia menerima kepelbagaian yang menjadi nadi Malaysia sejak dahulu lagi.
"Kita tunjukkan kesediaan kita untuk bukan sekadar kenal, tapi menghormati, mengimarahkan, menghebatkan, memperkenalkan dan menunjukkan kita terkesan dengan kehebatan budaya masing-masing.
"Ini saya nak tekankan kekuatan Malaysia, berbeza daripada pandangan kelompok kecil yang anggap hanya satu pandangan mereka yang baik dan tidak bersedia menerima kepelbagaian," kata beliau.
Berkongsi pengalamannya, Anwar berkata pemimpin luar juga menzahirkan rasa kagum dengan kepelbagaian dan keharmonian rakyat Malaysia, yang ditonjolkan dalam setiap persembahan budaya bagi menyambut kehadiran mereka ke Malaysia.
Dalam aspek bahasa pula, Anwar turut menegaskan bahawa Bahasa Melayu tetap menjadi bahasa rasmi dan pengikat rakyat, namun hak semua kaum untuk menguasai bahasa ibunda masing-masing harus dihormati.
"Negara ini ditegakkan dengan beberapa asas dan satunya kita tahu bahasa, bahasa Melayu bahasa rasmi, bahasa yang memperkuat, mengikat seluruh rakyat di negara kita.
"Tapi negara ini ditegakkan juga untuk menghormati hak semua kaum menguasai bahasa mereka dan dengan perkembangan dunia yang bersama, sekarang kita tahu keperluan menguasai pelbagai bahasa terutamanya bahasa Inggeris," kata Perdana Menteri.
Festival Budaya Malaysia 2025 menampilkan lebih 68 aktiviti budaya merentasi enam zon utama, yang mempamerkan gabungan persembahan tradisional dan inovasi moden.
Festival itu dianjurkan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Jabatan Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutan) Datuk Seri Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami