KUCHING:Keperluan untuk melanjutkan pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 5.0 akan dipantau oleh sebuah jawatankuasa sekiranya penularan COVID-19 masih berlarutan di Sarawak.

Itu jaminan diberikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang turut menjelaskan bahawa pakej-pakej yang diumumkannya sebelum ini adalah mencukupi

“Sebenarnya kita (kerajaan negeri) telah memberi beberapa bantuan, malah bagi mereka yang bekerja dengan pihak kerajaan negeri, mereka sudah mendapat bonus yang sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka.

“Keduanya, pekerja perkhidmatan awam kerajaan Persekutuan juga akan menerima bonus pada Mac ini.

“Ini bermakna bahawa mereka masih mempunyai sumber kewangan untuk meneruskan hidup masing masing,” kata Abang Johari.

Selain itu, kerajaan negeri juga, kata beliau, akan memperhalusi pemberian moratorium pinjaman kepada golongan usahawan yang terjejas di negeri itu.

Namun begitu, ujar beliau, kaedah pelaksanaannya masih dalam proses kajian berdasarkan situasi semasa.

“Untuk moratorium, kita boleh panjangkan dan mereka (usahawan) boleh menerima pinjaman.

“Kita juga mungkin akan menambah dana pinjaman namun semua ini akan dikaji terlebih dahulu oleh pihak jawatankuasa dan perkara ini akan kita umumkan dalam masa terdekat,” tambah Abang Johari.

BACA: Abang Johari umum pakej BKSS 5.0 berjumlah RM405 juta

BACA: BKSS 5.0: Ini hadiah Abang Jo buat orang Sarawak!

Pada Khamis, kerajaan negeri mengumumkan pakej BKSS 5.0 berjumlah RM405 juta dalam usaha membantu meringankan beban rakyat Sarawak yang terkesan akibat COVID-19 dan banjir.

Menerusi pakej bantuan itu, Abang Johari turut mengumumkan 11 langkah diambil kerajaan negeri bagi membantu rakyat termasuk diskaun bil air dan elektrik, diskaun sewa pasar dan gerai serta pengeculian bayaran permit dan lesen perniagaan kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam dan pasar tamu.