Kepimpinan Tun Hisan wajar dicontohi warga PDRM - Ayob Khan

Ayob Khan (tiga, kanan) menyantuni pelajar sekolah selepas melancarkan buku 'Datuk Tun Hisan Tun Hamzah: Breaking the Chains of Gangsterism', hari ini. -fotoBERNAMA
KUCHING: Buku berjudul Dato Tun Hisan Bin Tun Hamzah: Breaking the Chains of Gangsterism disifatkan sebagai penulisan yang lengkap dan bernilai tinggi, bukan sahaja untuk warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetapi juga wajar dijadikan bahan kajian di institusi pengajian tinggi (IPT) khususnya dalam bidang sains sosial.
Ringkasan AI
- Buku Dato Tun Hisan Bin Tun Hamzah: Breaking the Chains of Gangsterism disifatkan sebagai karya lengkap dan bernilai tinggi, sesuai dijadikan rujukan di institusi pengajian tinggi khususnya dalam bidang sains sosial dan kepolisan.
- Buku ini mengangkat pengalaman Tun Hisan dalam membanteras kongsi gelap, serta menekankan peranan pelbagai pihak termasuk keluarga, pendidik dan masyarakat dalam pencegahan jenayah.
- Tun Hisan menegaskan bahawa kejayaan membanteras gangsterisme adalah hasil usaha kolektif, dan pencegahan jenayah memerlukan pendekatan menyeluruh yang merangkumi penguatkuasaan, pendidikan dan empati masyarakat.
"Ia tidak hanya melihat aspek kepolisan semata-mata, tetapi turut melibatkan peranan isteri dan keluarga, pendidik serta masyarakat dalam memberi kesedaran kepada golongan belia untuk menghindari jenayah," katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku itu di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Beliau berkata buku berkenaan turut memberi panduan berguna kepada pegawai muda PDRM untuk meneladani strategi kepimpinan Tun Hisan yang antaranya pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah di Sarawak dan Ketua Polis Selangor.
Ayob Khan berkata kepimpinan tokoh seperti Tun Hisan wajar dijadikan teladan oleh seluruh warga PDRM, selaras dengan penekanan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap aspek integriti, tatakelola dan pembanterasan rasuah.
"Banyak yang kita dengar dan tahu bahawa Datuk Tun Hisan seorang yang tegas, berintegriti, berwawasan serta berani menongkah arus demi melakukan perubahan untuk kebaikan PDRM, masyarakat dan negara.
"Kalau kita dapat melahirkan warga polis yang mantap dari segi integriti dan tatakelola, saya yakin PDRM akan berada di landasan yang betul dalam melaksanakan amanah yang diberikan," katanya.
Sementara itu, Tun Hisan dalam ucapannya berkata buku berkenaan bukan ditulis untuk mengangkat sumbangan individu, tetapi untuk mendokumentasikan perjuangan bersama dalam usaha memulihkan keamanan dan keyakinan masyarakat di Sarawak.
"Tajuk Breaking the Chains of Gangsterism melambangkan lebih daripada sekadar operasi penguatkuasaan. Ia mencerminkan perjuangan bersama - perpaduan antara pasukan polis, agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan rakyat biasa yang enggan menyerah kepada ketakutan.
"Kemenangan yang dicapai tidak pernah menjadi hasil usaha seorang individu atau satu operasi semata-mata. Ia lahir daripada keberanian bersama dan matlamat yang sama," katanya yang juga merupakan penasihat khas kepada buku panduan bagi karya berkenaan.
Beliau berkata pencegahan jenayah tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan penguatkuasaan, pendidikan dan empati masyarakat.
Terdahulu, buku penulisan Leonard Sabu itu dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara Tan Sri Dr Abdul Latiff Abu Bakar.
Karya berkenaan merupakan hasil terbitan Pertubuhan Amal Ya Ying dengan kerjasama Yayasan Buku Negara serta mendapat sokongan penuh PDRM, Yayasan Generasi Malaysia, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia dan Universiti Malaysia Sarawak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


