KUALA LUMPUR: Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini hampir-hampir saja menarik diri daripada mengemudi istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, pada Isnin lalu.

Datuk Paduka Maharaja Lela itu yang merupakan tunggak segala acara rasmi melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong diuji dengan serangan penyakit pencernaan usus atau lebih dikenali sebagai gerd.

Kata Azuan Effendy, pada peringkat awal, penyakit itu amat membimbangkan kerana beliau berasa loya serta mengganggu pernafasannya.

Bimbang keadaan bertambah buruk, Azuan Effendy tiada pilihan lain selain daripada menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda berdua, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mengenai keadaan kesihatannya sebelum berlepas ke Petarana Diraja bagi upacara pemeriksaan perbarisan.

“Tentu sekali saya risau kerana gerd menyerang di pagi hari penting untuk institusi diraja dan negara. Dalam menahan sakit, saya buat keputusan untuk sembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mengenai kesakitan yang sedang saya alami.

“Bahkan, dalam fikiran saya juga sudah mula memikirkan untuk mendapatkan khidmat timbalan saya untuk ambil alih tugas mengemudi istiadat pagi itu. Namun, Allah adalah penguasa segala-galanya, penyakit itu hilang tidak lama selepas itu.

“Menjunjung kasih kepada Tuanku berdua yang sangat prihatin dengan keadaan saya dan membantu mengubati penyakit saya itu,” kata Azuan Effendy kepada Astro AWANI ketika dihubungi, pada Rabu.

Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini (depan) mengemudi istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, pada Isnin lalu. - Gambar Facebook AZUAN EFFENDY

Azuan Effendy sebelum itu berkongsi di halaman Facebook peribadinya menceritakan baking soda dan ubat Gaviscon yang dikongsi Permaisuri Agong membantu mengurangkan kesakitannya.

“Saya mohon diberi izin untuk mendapatkan ‘baking soda’ di dapur khas Raja Permaisuri Agong. Dapur khas Raja Permaisuri Agong sajalah tempat yang paling hampir saya boleh dapatkan ‘baking soda’ kerana pada ketika itu saya telahpun berada bersama Tuanku Berdua di ‘Royal Wing’, bahagian sayap peribadi Tuanku tempat di mana kamar beradu Tuanku serta tempat beristirehat Tuanku berada.

“Dapur harian dan pejabat agak berjauhan dari Royal Wing. Tuanku berdua sangat memahami, selain menitahkan kakitangan lain untuk mendapatkan apa yang diminta dari dapur khas… Tuanku juga kurniakan Gaviscon milik baginda sendiri untuk mengubati gerd yang menyerang,” kata Azuan Effendy dalam catatan itu.

Mengenang keprihatinan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong pada pagi berkenaan akan menjadi rakaman pengalaman paling indah dalam kotak kenangannya.

Dalam masa sama, kesyukuran tidak putus-putus dipanjatkan beliau kepada Allah kerana urusanya dipermudahkan pada hari istimewa itu.

Memikul tanggungjawab sebagai tunggak utama acara istiadat diraja, Azuan Effendy mengakui, kepercayaan yang dipikul bukan sekadar tugas, tetapi amanah besar demi mendaulatkan institusi diraja Melayu.

“Justeru, bila gerd menyerang, saya bimbang fokus pada tugas itu akan terjejas, namun, syukur sokongan yang diperoleh daripada Seri Paduka baginda berdua menjadi penawar dan motivasi buat saya untuk memastikan tugasan itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin dan berjalan lancar… Alhamdulillah,” Azuan Effendy menyambung perbualan.

Datuk Paduka Maharaja Lela termuda

Sudah hampir lima tahun memikul tugas sebagai Datuk Paduka Maharaja Lela sepanjang perkhidmatan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong, Azuan Effendy mengakui, ramai yang bertanya apa formula beliau mampu menghafal setiap tutur bicara khususnya dalam bahasa istana ketika mengemudi acara istiadat diraja.

Kepada Azuan Effendy, tiada sebarang teknik hafalan yang menjadi amalannya kerana dalam mengemudi tugas itu apa yang paling utama ialah ketenangan.

“Tidak ada sebarang formula. Prinsip yang paling utama ialah saya harus pastikan permulaan ayat atau bicara pada tugas itu adalah tepat. Saya kena pastikan sebaik buka mulut, apa yang saya cakap itu mestilah betul dan selepas itu tugas saya akan menjadi lebih lancar sehingga ke akhir acara,” ujar beliau.

Namun begitu, individu penting di Istana Negara itu tidak menolak bahawa amalan spiritual lain khususnya melaksanakan solat hajat dan memanjat doa kepada Allah tidak pernah diabaikannya demi memastikan tugasnya berjalan lancar.

“Walaupun saya sudah biasa berhubung dan berkomunikasi dengan Tuanku berdua, namun, aura Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong serta aura Balairong Seri Istana Negara sungguh luar biasa.

“Justeru, kekuatan spiritual juga amat penting bagi orang seperti saya untuk menunaikan tangggungjawab khususnya di tengah-tengah keramaian termasuk yang dihadiri oleh pembesar-pembesar negara,” kata beliau lagi.

Datuk Azuan Effendy (depan) mencatat sejarah sebagai individu paling muda dilantik sebagai Datuk Paduka Maharaja Lela berbanding penjawat jawatan itu sebelum ini. - Gambar Facebook AZUAN EFFENDY

Untuk rekod, Azuan Effendy mencatat sejarah sebagai individu paling muda dilantik sebagai Datuk Paduka Maharaja Lela berbanding penjawat jawatan itu sebelum ini.

Semasa dilantik, beliau hanya berusia 38 tahun dan kini pada usia 43 tahun, Azuan Effendy telah membuktikan generasi sepertinya juga mampu memainkan peranan yang sangat besar dalam mengagungkan institusi diraja Melayu.

“Alhamdulillah kepercayaan yang diberikan itu saya zahirkan dalam setiap tugas yang diamanahkan. Jujur saya katakan, sebagai tunggak di istana, apa yang saya lakukan bukan semata-mata kerana amanah tetapi juga untuk meneruskan kelangsungan mempertahankan institusi diraja Melayu.

“Institusi diraja di negara ini amat penting kerana sebagai pemusatan kuasa, Yang di-Pertuan Agong memainkan peranan yang sangat besar dalam memakmurkan tanah air, membantu menyelamatkan Malaysia daripada konflik dan ancaman.

“Keutuhan institusi ini harus dipertahankan kerana ia tiada tolok ganti,” kata beliau lagi.