JOHOR BAHRU: Kepulan asap di Bilik High Voltage di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam, berpunca daripada isyarat palsu (false alarm) Sistem Pemadaman Kebakaran Jenis Aerohub yang telah menyebabkan gas aerosol dibebaskan.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri Ling Tian Soon berkata kejadian di bilik yang terletak di antara bangunan induk dan bangunan poliklinik HSA itu, tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda.

"Pengurusan HSA dan syarikat konsesi telah menghubungi pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk menutup bekalan elektrik ke punca bekalan masuk utama elektrik, bagi menjalankan siasatan lanjut mengenai punca pengaktifan sistem pemadam kebakaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ling berkata susulan daripada itu, hasil perbincangan antara pihak pengurusan dan jurutera HSA, syarikat konsesi serta TNB memutuskan langkah pelaksanaan awal telah dilaksanakan bagi memeriksa dan mengenal pasti punca kejadian.

"Langkah pelaksanaan awal tersebut ialah TNB akan memutuskan bekalan elektrik ke punca bekalan masuk utama elektrik dan syarikat konsesi akan menyediakan janakuasa mudah alih semasa pemeriksaan dijalankan di hospital itu," katanya.

Ling berkata sistem bekalan kuasa tanpa gangguan (UPS) dan janakuasa tunggu sedia HSA berada dalam keadaan baik dan berfungsi untuk memastikan perkhidmatan di hospital berjalan lancar, malah unit keselamatan turut bekerjasama bagi memastikan lokasi kejadian dalam keadaan selamat.

"Pengurusan HSA mengambil maklum berkaitan dengan artikel di sebuah portal yang tular di media sosial berhubung dengan insiden ini dan pihak pengurusan hospital akan melaksanakan pemeriksaan serta rondaan berkala bagi memantau fungsi peralatan dan bekalan elektrik serta air di fasiliti berada dalam keadaan baik," katanya.

Ling berkata pengurusan hospital bersama pihak konsesi juga sentiasa berusaha melaksanakan penambahbaikan terhadap peralatan yang uzur atau rosak, termasuk menaik taraf sistem bekalan elektrik di hospital serta memastikan aktiviti penyelenggaraan di hospital dilaksanakan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata pengurusan hospital juga sentiasa cakna dan berusaha dalam memastikan keselamatan tempat bertugas semua anggota serta gangguan pada aktiviti perawatan pesakit kerana perkara itu menjadi keutamaan HSA.

"Pada masa sama, pihak pengurusan HSA sentiasa berusaha meningkatkan imej hospital dalam memberikan perkhidmatan perawatan terbaik. Segala kesulitan yang dihadapi amatlah dikesali. Kerjasama semua pesakit dan anggota hospital amatlah dihargai," katanya.

Semalam, dilaporkan sebuah portal mendakwa berlaku kejadian kebakaran kecil di HSA kira-kira 9 pagi sehingga memaksa penutupan sementara operasi di hospital berkenaan.

-- BERNAMA