KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor menyifatkan pembebasan suaminya, Datuk Seri Najib Razak daripada pertuduhan meminda laporan audit syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai kemenangan buat keluarga dan bekas Perdana Menteri itu.

Rosmah yang berbaju kurung warna kuning hadir memberikan sokongan pada prosiding hari ini berkata, kemenangan itu juga telah menyuntik semangat baharu buat mereka sekeluarga.

“Syukur Alhamdulillah sebab kes hari ini adalah satu kemenangan kepada bukan sahaja suami saya tetapi juga kepada keluarga kami.

“Saya sempat jumpa Datuk Seri (Najib).  Datuk Seri kata rasa bersyukur dan ini adalah satu kemenangan untuk beliau. Insya-Allah, lebih baik akan datang.

“Sudah tentu keputusan ini memulihkan semangat dan yang kami nanti-nanti bukan sahaja untuk Datuk Seri, tetapi untuk keluarga kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi mahkamah, di sini, pada Jumaat.

Mahkamah Tinggi hari ini, membebaskan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy daripada tuduhan meminda laporan audit 1MDB.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Najib dan Arul Kanda.

Mahkamah turut membebaskan Arul Kanda daripada tuduhan bersubahat dengan Najib melakukan pindaan itu selepas memberikannya sijil indemniti (pengecualian liabiliti undang-undang) kerana keterangan yang diberikan beliau selaku saksi pendakwaan pada Ogos tahun lalu adalah benar dan menyeluruh.

Najib, 70, didakwa pada 12 Disember 2018, menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dilakukan terhadap laporan audit  1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Arul Kanda, 46, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindunginya daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 23(1) dan 24(1) Akta SPRM yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Najib yang juga bekas Presiden UMNO ketika ini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas disabit bersalah atas pertuduhan menyeleweng dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.