PUTRAJAYA: Sebarang keputusan bagi membenarkan pelarian diambil bekerja dalam mana-mana sektor pekerjaan haruslah berdasarkan data oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), kata menteri berkaitan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Susulan keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan mesyuarat Kabinet baru-baru ini, beliau berkata KDN kini dalam usaha mengumpul data berkaitan pelarian misalnya jantina, umur dan negara asal mereka.

"KDN diberikan tanggungjawab untuk mendaftar pelarian dan mereka diberikan kad pelarian (dokumen perdaftaran pelarian).

"Sebelum ini, inisiatif kerajaan adalah melantik pihak ketiga (projek Sistem Pengesan Maklumat Pelarian - TRIS) yang mana mereka hanya dapat mendaftar kira-kira 30,000 sahaja berbanding data yang diperoleh daripada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) (185,000 orang)," katanya.

Saifuddin Nasution berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Aidilfitri Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, di sini, hari ini.

Beliau berkata Jabatan Imigresen diberi tanggungjawab untuk mendaftar golongan pelarian ini dan apabila telah didaftarkan, kementerian boleh membantu untuk mencarikan mereka pekerjaan.

"... daripada mereka yang cari kerja, kita boleh bantu carikan bergantung kepada dasar dan keputusan kerajaan. Kita belum lagi ke arah itu, apa yang penting adalah data," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai isu penempatan pelarian di Pulau Pinang baru-baru ini, beliau berkata mana-mana pihak tidak boleh bertindak atas undang-undang sendiri dan hanya agensi penguat kuasa dibenarkan mengambil tindakan seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen.

"Usaha yang sedang dibuat untuk mengurus mendaftarkan data sebenar pelarian untuk kerajaan, boleh digunakan untuk susun langkah-langkah ke depan dan kerjasama dengan UNCHR untuk perkongsian data supaya kerjasama ini boleh bantu mempercepatkan lagi perancangan terhadap pelarian.

"Jika tidak, kita membiarkan pelbagai isu timbul, sentimen tempatan membengkak. Sekarang mungkin perkara kecil tetapi ia tidak boleh dibiarkan, tidak boleh dipandang enteng," katanya.

-- BERNAMA