Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyifatkan keputusan kerajaan menambah 60 peratus pengambilan matrikulasi sebagai sesuatu yang bersejarah

Dr Maszlee turut menyifatkan perkembangan itu sebagai sesuatu menguntungkan pelajar Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Jelas beliau, kerajaan percaya semua pelajar berhak mendapat peluang untuk memasuki matrikulasi dan kerana lebih banyak peluang diberikan kepada bukan Bumiputera berbanding sebelum ini.

"Yang pasti keputusan matrikulasi baru-baru ini telah menyaksikan pertama kali dalam sejarah bagi menyaksikan bukan Bumiputera diberi ruang yang begitu banyak, sebelum ini 2,500 sahaja kali ini 4,000.

"Ia dilakukan tanpa mengorbankan kerusi Bumiputera. Bumiputera masih menikmati 90 peratus namun lebih banyak kerusi untuk bukan Bumiputera boleh diberikan," katanya ketika sidang media khas di kementeriannya hari ini.

Maszlee menjelaskan matrikulasi bukan satu-satunya program untuk melanjutkan pendidikan di peringkat tinggi.

Program matrikulasi merupakan kursus pra-universiti yang diadakan khas untuk kemasukan ke universiti awam tempatan.

Baru-baru ini, Kabinet memutuskan untuk mengekalkan kuota 10 peratus untuk pelajar bukan Bumiputera namun jumlah pengambilan pelajar ditingkatkan sebanyak 60 peratus.