Keputusan mahkamah Paris memelihara integriti wilayah Sabah - Persatuan Peguam Sabah

Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir dalam tuntutan individu yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu, terhadap Sabah. - Adobe Stock
KOTA KINABALU: Keputusan Mahkamah Rayuan Paris membatalkan Award Akhir AS$14.9 bilion dalam kes pihak mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, menjadi penjelasan penting terhadap kedudukan undang-undang yang menyokong tuntutan tersebut serta memelihara integriti wilayah Sabah.
Presiden Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) Datuk Mohamed Nazim Maduarin berkata walaupun pertikaian itu dibuat dalam konteks timbang tara komersial, implikasinya secara langsung berkait dengan isu-isu yang menjadi teras kedaulatan negeri.
Beliau berkata status Sabah berakar teguh dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Status ini tidak boleh diubah, dicabar atau dibawa ke proses timbang tara luar negara yang tiada asas undang-undang," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas keputusan Mahkamah Rayuan Paris yang membatalkan sepenuhnya Award Akhir dalam tuntutan individu yang mendakwa sebagai pewaris Kesultanan Sulu, terhadap Sabah.
Mahkamah Rayuan Paris membatalkan sepenuhnya Award Akhir yang dikeluarkan penimbang tara Gonzalo Stampa pada 28 Feb 2022, dan mengarahkan penuntut tersebut membayar kos berjumlah EUR200,000 (AS$232,734) kepada Malaysia.
War Room Sekretariat Khas Kes Sulu yang mewakili Kerajaan Malaysia, mengesahkan bahawa keputusan Mahkamah Rayuan Paris disampaikan pada 9 Dis dan kerajaan menerima penghakiman rasmi, pagi tadi.
Mahkamah mendapati bahawa Stampa tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengeluarkan Award Akhir, kerana tiada perjanjian timbang tara sah yang mengikat Malaysia.
Nazim berkata penemuan Mahkamah Paris bahawa penimbang tara tidak mempunyai bidang kuasa kerana ketiadaan perjanjian timbang tara yang sah, mengukuhkan perlindungan asas bagi prinsip kedaulatan undang-undang, dengan menekankan bahawa keputusan itu menegaskan prinsip bahawa perkara perlembagaan berada di luar skop timbang tara swasta.
"Pertikaian yang melibatkan hak kedaulatan dan perjanjian perlembagaan tidak boleh privatised, outsourced, atau adjudicated melalui mekanisme yang tidak sah," katanya.
SLS turut mengiktiraf usaha yang dilakukan oleh pasukan undang-undang Malaysia dalam prosiding di Perancis, memuji bahawa tindakan mereka berjaya menangani isu yang berkaitan dengan kedudukan perlembagaan dan wilayah Sabah.
Nazim berkata perkara yang melibatkan hak perlembagaan Sabah mesti terus ditangani dengan jelas dan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.
"Sebagai badan statutori bebas, Persatuan Peguam Sabah kekal komited untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, menjaga perkara yang menjejaskan kedudukan undang-undang dan perlembagaan Sabah, serta memastikan isu yang berkaitan dengan hak Sabah ditangani dengan jelas, berdisiplin dan berpandukan undang-undang," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


