Keputusan MT tidak boleh dicabar di mahkamah - Ku Nan

Harits Asyraf Hasnan
Mac 3, 2016 09:10 MYT
Tengku Adnan (gambar) menegaskan isu penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO tidak berkaitan dengan Seksyen 16 Akta Pertubuhan 1966. -Gambar fail/Shahir Omar
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memaklumkan pertikaian atau keputusan parti tidak boleh dicabar di mahkamah.
Malah, Tengku Adnan turut menegaskan isu penggantungan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Timbalan Presiden UMNO tidak berkaitan dengan Seksyen 16 Akta Pertubuhan 1966.
“Mengikut Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, pertikaian atau keputusan parti tidak boleh dicabar di Mahkamah manakala Seksyen 16 Akta Pertubuhan ialah berkenaan pertikaian sesama ahli atau kalangan ahli.
"Ianya tidak terangkum dalam kes penggantungan jawatan YB Tan Sri Muhyiddin maka saluran yang patut diambil ialah berbentuk dalaman parti sahaja," katanya menerusi kenyataan media susulan dakwaan Muhyiddin hari ini.
Muhyiddin hari ini dalam satu sidang media berkata akan merujuk kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) berhubung penggantungannya sebagai Timbalan Presiden UMNO.
BACA: Muhyiddin rujuk RoS isu penggantungan jawatan Timbalan Presiden UMNO
TONTON: RoS harus jelaskan jika penggantungan saya sah - Muhyiddin Yassin
TONTON: Rujuk keputusan kepada RoS - Muhyiddin Yassin
Jelas Muhyiddin, beliau merasakan tindakan yang dibuat MT UMNO itu tidak mengikut prosedur yang betul.
Dalam pada itu, menurut Tengku Adnan, Fasal 9.12 Perlembagaan UMNO tidak berkaitan dengan penggantungan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.
"Fasal 9.12 Perlembagaan UMNO adalah berkenaan ‘pelucutan jawatan’ mana-mana Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
“Ia berbeza dengan penggantungan jawatan yang membabitkan Tan Sri Muhyiddin,” ujarnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelasnya, penggantungan jawatan Muhyiddin dibuat di bawah kuasa sedia ada dan berbaki (residual powers) MT di dalam Fasal 10.15 yang dibuat demi kesempurnaan perjalanan parti.
“MT UMNO merupakan badan keputusan tertinggi di dalam ketiadaan Perhimpunan Agung Tahunan. Ini jelas di dalam Fasal 9.1 Perlembagaan UMNO.
"Apa jua keputusan Majlis Tertinggi akan dimaklumkan kepada Perhimpunan Agung bila tiba masanya," katanya menerusi kenyataan media tersebut.
Mesyuarat MT UMNO Jumaat lalu secara sebulat suara bersetuju menggantung jawatan Timbalan Presiden UMNO yang disandang oleh Muhyiddin serta merta sehingga pemilihan MT akan datang.
#Ahli Majlis Tertinggi UMNO #Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor #penggantungan Tan Sri Muhyiddin Yassin