KUALA LUMPUR: Keputusan Jemaah Menteri yang bersetuju untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Klang ke status bandaraya mengukuhkan hasrat Kerajaan Selangor untuk mewujudkan pentadbiran Greater Klang Valley.

Menter Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha mewujudkan pentadbiran Greater Klang Valley melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, serta Majlis Perbandaran Klang itu adalah untuk menjadi model metropolitan di Malaysia serta Asia Tenggara.

Malah menurutnya, penjelmaan Greater Klang Valley akan menjadi antara fokus utama pentadbiran kerajaan negeri dalam penggal yang akan datang sekiranya mendapat mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri, 12 Ogos ini.

"Perkembangan ini mengukuhkan hasrat Kerajaan Selangor untuk mewujudkan  pentadbiran Greater Klang Valley yang melibatkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam, serta Majlis Perbandaran Klang agar menjadi model metropolitan di Malaysia serta Asia Tenggara.

"Bandar DiRaja Klang yang kaya dengan sejarah dapat terus dibangunkan sebagai bandar yang mampan serta mempunyai peluang ekonomi yang amat tinggi," katanya dalam kenyataan pada Khamis malam.

Selain itu, cadangan dan keputusan menaik taraf status MPK ke bandaraya itu akan dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi mendapat perkenan baginda serta proses pemasyhuran.

Dengan adanya Greater Klang Valley, tambah Amirudin, pentadbiran keempat-empat PBT ini dapat diselaraskan melalui penggunaan satu sistem untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan bagi memudahkan urusan kerajaan dengan rakyat.

Katanya, Greater Klang Valley juga dapat menjadi testbed untuk perkhidmatan berasaskan teknologi internet kelajuan tinggi khususnya 5G ke arah menawarkan perkhidmatan kerajaan sepenuhnya digital di lokaliti-lokaliti ini.

"Perancangan rapi sebegini adalah satu lagi petunjuk bahawa pentadbiran Kerajaan Selangor tidak leka dan sentiasa mencari ruang untuk memperbaiki proses dan tahap perkhidmatan untuk memastikan Selangor menjadi negeri yang berdaya huni dan adil agar tiada sesiapa yang ditinggalkan," katanya.