BATU PAHAT: Keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan hukuman penjara dan denda terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu diterima secara waras dan dihormati semua pihak termasuk ahli politik.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin berkata, keputusan itu merupakan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan pengampunan berkenaan tertakluk di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Mana-mana pihak tidak kira ahli politik, pimpinan, atau rakyat biasa, sudah tentu perlu kembali merujuk semula kepada peruntukkan perlembagaan. Ini kerana di dalam perlembagaan sudah pun terletak kuasa Yang di-Pertuan Agong sebagai contoh kuasa melantik Perdana Menteri.

"Begitu juga kuasa memberi pengampunan sudah pun ada dalam perlembagaan. Justeru kita perlu ada kewarasan, hormati undang-undang tubuh negara," katanya.

Shamsul Iskandar sebelum itu menyerahkan sumbangan kepada keluarga mangsa pembunuhan Mila Sharmila Samsusah, 32 atau Bella di Taman Soga di sini pada Sabtu.

Sumbangan itu diterima kakak Bella, Norhisham, 36, dan ibunya Noraini Salleh, 54.

Dalam pada itu, Shamsul Iskandar menegaskan kenyataan dikeluarkan pada Jumaat, berhubung pengampunan tersebut jelas.

"Ya saya ingat, dari segi kenyataan dikeluarkan jelas menunjukkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dalam perlembagaan untuk memberi pengampunan dalam konteks ini, Najib diberikan pengampunan

"Mesej kita kepada rakyat, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk melakukan tindakan sebagaimana yang dilakukan. Oleh itu, jangan timbulkan spekulasi dan cakap-cakap yang tidak menjurus fakta sebenar," ujarnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Urusetia Lembaga Pengampunan pada Jumaat, jumlah denda yang perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada jumlah asal iaitu RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang menyaksikan pengampunan diraja adalah satu-satunya harapan beliau untuk membebaskan diri. - Sinar Harian